RSS

Zakat Untuk Graduan Menganggur Mulakan Perniagaan


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Prof Madya Mohamad Kamil Ab Majid

Zakat dan kepentingannya

gambarkonvouia2007.jpgZakat merupakan suatu hak yang wajib pada harta yang tertentu untuk diberikan kepada kumpulan yang tertentu. Ianya wajib kepada sesiapa yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Harta yang dikumpulkan kemudiannya dibahagikan kepada kumpulan asnaf yang telah ditentukan berdasarkan kriteria-kriteria semasa oleh badan pengurusan zakat. Di Malaysia pengurusan zakat adalah di bawah bidang kuasa setiap negeri. Sebahagian negeri telah mengkorporatkan pengurusan zakat sementara yang selebihnya masih di bawah seliaan Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

Zakat merupakan ibadah khusus yang wajib sama seperti ibadah-ibadah yang lain seperti solat, puasa dan ibadah haji. Ianya dinyatakan secara jelas melalui beberapa ayat dalam al-Quran. Antara lain adalah ayat 103 Surah al-Taubah yang bermaksud: “ Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)...”

Berdasarkan ayat tersebut, zakat bukan sahaja merupakan ibadah yang wajib dan memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan malah menjadi mekanisme penyucian kepada harta yang dimiliki. Dengan ini harta yang ada akan lebih bersih dan membebaskan pemiliknya daripada sifat-sifat negatif;bakhil dan kikir..konvo.jpg

Dari perspektif ekonomi, zakat memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap ahli masyarakat dapat memenuhi keperluan asas masing-masing. Ianya dapat memastikan wujudnya kestabilan dalam persekitaran ekonomi di samping menjana permintaan khususnya daripada golongan berpendapatan rendah. Dengan wujudnya mekanisme zakat ini, ekonomi akan lebih stabil kerana golongan miskin akan sentiasa terbela manakala golongan kaya akan menyumbang dan prihatin. Hal ini secara langsung atau tidak langsung akan mewujudkan kestabilan ekonomi dan sosial kerana tiada pihak yang merasa tertindas.

Pembiayaan perniagaan melalui zakat

Zakat telah memainkan peranan yang besar dalam ekonomi umat Islam khususnya di Malaysia. Perkembangan institusi pengurusan zakat dan tahap profesionalisme yang tinggi telah menjadikan mereka disegani dan menjadi contoh kepada institusi-institusi agama yang lain sama ada dalam atau luar negara. Reaksi positif daripada ini adalah keyakinan dan sokongan umat Islam terhadap institusi zakat. Natijahnya adalah kutipan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun dan kesedaran mengenai kewajipan berzakat yang semakin tinggi.

Dari segi pengagihan juga, zakat telah dipelbagaikan dari segi bentuk bantuan dan pentakrifan asnaf juga diperluaskan sejajar dengan keperluan semasa. Sebagai contoh pembiayaan pelajaran semakin diperbanyakkan dan bantuan kepada fakir dan miskin juga dalam bentuk yang pelbagai termasuk bantuan modal perniagaan, rumah dan sebagainya. Pendekatan ini terbukti lebih baik jika dibandingkan dengan pemberian wang semata-mata kerana ianya kurang berkesan dalam membebaskan diri asnaf daripada belenggu kemiskinan.

Dalam membiayai dan melatih asnaf dalam bidang perniagaan, beberapa buah negeri telah mengambil langkah yang positif dengan memperkenalkan program khusus bagi asnaf yang mempunyai potensi berniaga. Ini termasuklah Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa buah negeri lain. Bantuan yang diberikan biasanya dalam bentuk khidmat nasihat dan pembiayaan kecil sekitar RM 10 000.00. Meskipun pembiayaan ini agak kecil, namun dengan berkat kesungguhan dan pemantauan yang baik, sebahagian peserta berjaya keluar daripada kelompok kemiskinan.

Masalah pengangguran di kalangan mahasiswa

Mahasiswa merupakan pelapis pemimpin masyarakat dan negara. Masalah pengangguran di kalangan mereka begitu serius sehingga dalam satu-satu masa dilaporkan pengangguran mencapai hampir 80 000 orang. Permintaan tenaga manusia yang tidak selaras dengan sijil yang dimiliki di samping kelemahan berkomunikasi dikatakan antara punca masalah ini. Kebanjiran graduan daripada IPTA dan IPTS juga tidak dapat ditampung oleh keperluan semasa.

Kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan menangani masalah ini termasuklah menyediakan latihan dan mempersiapkan siswazah dengan keperluan-keperluan yang seiring dengan permintaan pekerjaan. Walau bagaimanapun, mengharapkan peranan kerajaan semata-mata adalah merupakan tindakan yang kurang bijak. Institusi-institusi agama termasuk institusi zakat dan baitulmal perlu mengambil langkah pro- aktif berganding bahu menyelesaikan masalah ini. Ini adalah perlu kerana masalah ini merupakan masalah serius yang melanda umat Islam kerana majoriti siswazah yang menghadapi masalah ini adalah mahasiswa Muslim.

Justifikasi memberikan pembiayaan perniagaan kepada siswazah

Membantu siswazah untuk memulakan perniagaan merupakan satu langkah yang baik dalam membebaskan mereka daripada masalah pengangguran. Dengan tenaga yang masih muda, siswazah mampu berjaya dalam perniagaan jika mendapat bimbingan, galakan dan sokongan yang sewajarnya. Proses pembangunan usahawan yang sistematik dapat memastikan kejayaan mereka. Mungkin bantuan kecil yang diberikan pada hari ini dapat menghasilkan pulangan berganda dalam bentuk zakat yang akan dibayar oleh mereka sekiranya mereka berjaya nanti.bisnes_obrazovanie.jpg

Walau bagaimanapun, persoalan yang timbul adakah graduan berhak menerima zakat? Jika dilihat sekali imbas graduan tidaklah berhak menerimanya dalam keadaan jumhur ulama tidak bersetuju memberikan zakat kepada selain daripada asnaf yang lapan. Oleh yang demikian, takrifan terhadap asnaf perlulah diperluaskan merangkumi golongan ini.

Dalam urusan pembahagian zakat, halangan utama seseorang itu daripada menerima peruntukan zakat adalah kekayaan. Apabila seseorang itu dianggap kaya maka dia tidak lagi berhak menerima zakat sebagaimana pendapat ulama Syafi`i dan Hanbali. Ulama Hanafi pula menyatakan bahawa seseorang itu dianggap kaya apabila memiliki harta yang cukup nisab manakala Imam Malik berpendapat taraf kaya sukar untuk ditentukan dan memerlukan ijtihad berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.

Bagi masalah kemampuan bekerja, ianya tidak menghalang seseorang graduan daripada diharamkan menerima sebarang sumbangan zakat. Menurut al-Qaradawi, antara syarat-syarat yang menyebabkan seseorang yang mampu berusaha itu tidak layak menerima zakat adalah wujudnya kerja untuk dilakukan. Pekerjaan itu perlulah pekerjaan yang halal dan dapat dilakukan dalam keadaan kesukaran yang tidak melampau. Selain itu kerja tersebut mendatangkan hasil yang cukup kepadanya dan tanggungannya.

Kebiasaannya graduan yang belum mendapat sebarang pekerjaan tidak boleh dikatakan kaya. Mereka masih memerlukan bantuan keluarga dalam memenuhi keperluan seharian. Menurut Ulama Maliki adalah harus memberikan zakat kepada orang yang tidak bekerja dan tidak memiliki harta yang cukup untuk keperluannya bagi tempoh satu tahun. Ulama Hanafi juga berpendapat zakat boleh diberikan kepada penganggur yang mempunyai harta kurang daripada nisab Syarak. Malah ada pendapat yang menyatakan bahawa seseorang yang sengaja tidak mahu bekerja pun layak menerima zakat jika tidak mempunyai harta yang cukup.

Masalah pengangguran graduan merupakan masalah yang melibatkan umat Islam secara umum. Perniagaan pula merupakan perkara yang amat digalakkan dalam Islam dan diiktiraf sebagai 90% sumber rezeki. Golongan usahawan yang jujur dan amanah juga dijanjikan tempat yang istimewa setaraf dengan syuhada dan orang-orang soleh. Oleh yang demikian memulakan perniagaan merupakan amal soleh yang boleh dianggap sebagai “ fi sabilillah” sebagaimana pendapat al-Kasani. Al-Qaradawi juga menyatakan bahawa berjihad di jalan Allah juga bukanlah semata-mata mengangkat senjata malah meliputi pelbagai kepentingan umat Islam seperti pembinaan sekolah dan hospital Islam. Ianya tertakluk kepada situasi dan kepentingan umat Islam di tempat dan masa tertentu.

bisnes-sendiri.gifBerdasarkan kepada justifikasi dan pendapat ulama, tidaklah menjadi satu kesalahan memberikan peruntukan zakat kepada siswazah untuk memulakan perniagaan. Ianya merupakan tindakan yang relevan dengan keperluan dan permasalahan ummah semasa. Meskipun begitu kajian lanjut mengenainya perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambil kira semua perkara. Komitmen yang jitu diperlukan bagi memastikan mekanisme pembiayaan ini sekiranya diterima dapat berjalan dengan baik dan memenuhi matlamatnya. Pelaksanaan yang teliti dan pemantauan serta latihan yang berterusan diperlukan dalam memastikan usahawan yang dilahirkan dapat memberikan impak berganda dan mampu menjadi pemangkin kepada penawaran kerja seterusnya membantu menyelesaikan masalah pengangguran ini.

Dengan menggerakkan dana zakat secara lebih aktif, adalah menjadi harapan agar zakat dapat menyelesaikan masalah perbezaan yang berlaku antara manusia membabitkan rezeki di mana ia merupakan realiti sebagaimana firman Allah: “ Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan Allah” (al-Nahl: 71). Institusi zakat juga perlu membuktikan keupayaannya dalam menyelesaikan masalah besar umat Islam seperti ini. Ini penting kerana kejayaan mekanisme zakat bukanlah diukur pada jumlah kutipan semata-mata tetapi juga sejauh mana keberkesanan pengagihan dan impak langsungnya kepada masyarakat Islam secara keseluruhan.

sumber artikel ~ http://www.mindamuslim.com ~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...