RSS

Lain cara didik buat anak-anak

MUNGKIN ada ibu bapa menganggap anak lelaki atau perempuan sama saja. Disebabkan itu mereka memberi layanan sama, walaupun jantina sebenarnya mewujudkan kesan utama sama ada secara langsung atau tidak dalam perkembangan kanak-kanak.

Yang perlu ibu bapa tahu ialah kanak-kanak lelaki dan perempuan dipengaruhi secara langsung oleh hormon tertentu iaitu androgen (lelaki) dan estrogen (perempuan) yang bertanggungjawab terhadap perbezaan perkembangan mereka, manakala kesan tidak langsung ialah keadaan persekitaran.

Kelakuan anak lelaki atau perempuan dipengaruhi oleh keluarga pada peringkat awal, kemudian rakan sebaya, sekolah, guru dan masyarakat.

Perbezaan jantina memainkan fungsi besar dalam mempengaruhi kadar perkembangan kemahiran mereka serta jenis kemahiran itu.

Kanak-kanak perempuan mengalami pertumbuhan pesat daripada segi fizikal berbanding kanak-kanak lelaki dan mereka juga mencapai tahap kematangan dan keremajaan lebih awal. Kanak-kanak lelaki pula cepat membesar selepas akil baligh.

Di peringkat pra sekolah, kanak-kanak perempuan aktif, misalnya dapat melakukan pergerakan berirama dan menyeimbangkan tubuh lebih baik daripada kanak-kanak lelaki.

Selepas peringkat itu, kanak-kanak lelaki lebih baik dalam aktiviti berlari, melompat dan melontar sementara kanak-kanak perempuan lebih baik dalam aktiviti melompat dengan sebelah kaki.

Berdasarkan ujian IQ yang dilakukan, tiada perbezaan antara kanak-kanak lelaki dengan kanak-kanak perempuan daripada segi intelek.

Bagaimanapun, kanak-kanak perempuan lebih cepat dalam beberapa aspek bahasa pada peringkat awal dan boleh bertutur lebih awal daripada kanak-kanak lelaki. Mereka juga boleh membaca dan menulis lebih awal serta lebih baik dalam aritmetik (pengiraan).

Kanak-kanak lelaki sentiasa lebih baik daripada segi visualisasi ruang, tidak mengira peringkat umur. Mereka boleh memainkan objek tiga dimensi dalam fikiran mereka dan memahami hubungan dunia fizikal dengan lebih baik.

Daripada segi sosial, kanak-kanak lelaki lebih agresif dan dominan daripada kanak-kanak perempuan dalam semua peringkat umur, bermula dari zaman kanak-kanak hingga peringkat remaja. Mereka juga lebih bersikap bersaing, tetapi sikap itu tidak muncul seawal sikap agresif.

Kanak-kanak perempuan lebih pandai bergaul dan menjalin hubungan rapat dengan orang lain. Sejak kecil, mereka juga lebih patuh terhadap kehendak orang dewasa.

Kanak-kanak lelaki pula lebih cenderung menunjukkan semua bentuk tekanan fizikal, emosi dan intelek, selain mempunyai masalah tingkah laku yang lebih banyak.

Pengetahuan mengenai perbezaan jantina boleh membantu ibu bapa memaksimumkan kekuatan semula jadi dan menangani kelemahan anak mereka.

Anak lelaki boleh dibiasakan dengan buku lebih awal dan bermain dengan banyak perkataan dengan memberi penekanan pada sebutan.

Untuk anak perempuan pula, ibu bapa boleh meningkatkan deria ruangnya dengan membiasakan diri bermain papan bentuk, susun suai gambar, ular dan tangga serta dam dan catur.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...