RSS

Genetik Penentu Kejayaan Usahawan

Genetik bukan sekadar berkait dengan kelahiran dan asal usul seseorang tetapi juga menjadi inspirasi biologi yang menentukan kejayaan usahawan, dakwa ahli perniagaan terkemuka Amerika Syarikat (AS), Donald John Trump.

Katanya, ini adalah hakikat yang perlu diperakui kebenarannya, walaupun sesetengah pihak mungkin tidak mempercayainya. Beliau mengakui memang mudah untuk menjadi seorang usahawan tetapi untuk mempertahankannya tidaklah semudah yang disangkakan.

Katanya, bidang perniagaan juga memerlukan keberanian kerana tuah bukan sentiasa ‘mendampingi’ usahawan. “Bukan mudah untuk mendapat individu bertuah seperti orang terkaya di dunia iaitu Pengerusi Microsoft Corporation, Bill Gates kerana dalam perniagaan tiada jalan pintas,’’ katanya dalam sidang video selama 20 minit sempena Forum Kepimpinan Global di sini hari ini.

Trump yang popular kerana siri televisyen realiti The Apprentice, pernah diiktiraf sebagai usahawan dan pemaju hartanah terbaik AS pada tahun 1980-an dan 1990-an. Katanya: ‘‘Kejayaan usahawan banyak dipengaruhi genetik yang membezakannya dengan profesion lain. Ini menyebabkan bukan semua individu secocok dengan identiti dan sifat semula jadi seorang usahawan.

“Sebab itu, majoriti penduduk dunia lebih senang bekerja di pejabat mulai pukul 9 pagi dan pulang 5 petang berbanding kerjaya seorang usahawan yang terpaksa bekerja lebih masa. ”Menceritakan pengalamannya sendiri, Trump berkata, beliau adalah salah satu daripada ahli perniagaan yang berasal daripada keluarga usahawan.

Beliau yang merupakan generasi ketiga keluarga tersebut berkata, untuk berjaya sebagai usahawan, individu perlu menyukai setiap apa yang dilakukan kerana bidang itu sangat sukar. “Usahawan yang rasa selesa dengan bidang tersebut akan mempunyai sifat semula jadi tidak akan mudah putus asa, tidak cepat mengalah dan sentiasa bersemangat walaupun mengalami kegagalan,” katanya.

Menyentuh mengenai kegagalannya dalam bidang perniagaan, Trump berkata, beliau pernah jatuh bankrap tetapi mampu bangun semula sehingga berjaya mengumpul aset berjumlah AS$1.6 bilion. Katanya, faktor utama yang menyebabkan usahawan gagal ialah apabila mereka kehilangan momentum.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...