RSS

Umat Islam mundur kerana kurang membaca

"MEMBACA Santapan Minda Sekeluarga, Bacalah Bersama Keluarga"
Inilah tema Bulan Membaca Kebangsaan 2004.


Kempen ini untuk melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan. Oleh itu, pelbagai acara diadakan sepanjang bulan ini bagi mencapai matlamat kempen itu. Tumpuannya ialah diri anda dan keluarga.

Tidak dapat dinafikan bahawa membaca mempunyai pelbagai faedah. Paling utama, membaca akan meningkatkan ilmu pengetahuan seseorang. Tidak kira apa, bahan bacaan, pasti dalamnya terkandung seribu satu ilmu berguna. Bahan bacaan 'serius' lebih digalakkan kerana paparan ilmu yang dihidangkan amat banyak dan tinggi nilainya. Pembacaan yang konsisten akan menjadikan seseorang itu berilmu dan berkeyakinan ketika berbicara.

Membaca juga boleh meningkatkan kemahiran pembaca. Kemahiran paling utama ialah berbahasa. Selain bijak menggunakan kata-kata, seseorang yang gemar membaca juga boleh menguasai kaedah pencarian maklumat terkini.

Selain itu, orang yang gemar membaca ini lebih mahir dalam memberikan idea bernas.

Akhirnya, membaca penting untuk kesihatan otak. Membaca adalah antara kaedah senaman untuk meningkatkan kesegaran, ketajaman dan kebijaksanaan otak. Menurut Dr Abu Bakar Abdul Majeed dalam buku Pembentukan Fitrah Hidup Islam: "Seperti tubuh yang memerlukan senaman, maka otak juga boleh dilatih untuk berdaya tahan dengan senaman. Kaedahnya adalah dengan banyak membaca bahan-bahan yang berfaedah. Kaedah yang paling mujarab ialah menjadikan otak kita otak yang paling kuat bekerja."

Jelas, bahawa membaca penting dalam kehidupan manusia. Membaca adalah sebahagian daripada proses pencarian ilmu. Keperluan membaca ini selaras dengan tuntutan Islam agar setiap ahli masyarakat tidak jemu mencari dan menuntut ilmu.

Kepentingan membaca bermula sejak awal sejarah kedatangan Islam. Ini merujuk kepada wahyu pertama kepada Nabi Muhammad yang dimulai dengan perintah "Iqra" atau "bacalah".

Perintah membaca ini disuburkan Rasulullah kepada setiap umatnya dengan mengajar dan membacakan wahyu yang Baginda terima agar menjadi panduan dalam kehidupan. Seterusnya, budaya pencarian ilmu ini berkembang hingga ke zaman khalifah seterusnya.

Budaya pencarian ilmu mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyyah. Pada masa itu, pusat pengajian ditubuhkan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Di pusat pengajian ini, pengkaji mengkaji khazanah peninggalan Rasulullah yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Hasil daripada pengkajian itu, mereka berjaya membongkar pengetahuan dalam pelbagai cabang ilmu seperti astronomi, geologi, fizik, kimia, biologi, botani, matematik dan perubatan.

Ketika itu, muncul cendekiawan Islam terkenal seperti Ibnu Sina, al-Farabi, al-Biruni dan al-Khawarizmi.

Itulah zaman kegemilangan keilmuan Islam. Ketika ini, umat Islam mencapai tahap masyarakat pintar. Masyarakat pintar membawa maksud satu masyarakat yang bukan saja pakar dalam ilmu duniawi, malah menguasai ilmu akhirat dengan mendalam.

Jelas bahawa bermula dengan membaca, segala rahsia ilmu pengetahuan boleh dibongkar dan akhirnya mewujudkan masyarakat pintar yang cintakan kepada ilmu pengetahuan, berbudaya pencipta, berilmu tinggi, tidak mudah dijajah dan beriman.

Malangnya, kelebihan membaca untuk memperoleh ilmu tidak berjaya menjadi budaya dalam masyarakat Islam kini walaupun sejarah dunia Islam menunjukkan bahawa mereka gemilang kerana ilmu. Akibat gagal mengambil iktibar ini, masyarakat Islam di seluruh dunia menjadi mundur, terjajah, dikotak-katikkan, bergantung pada orang lain, lemah, suara mereka dipencilkan dan mudah dipengaruhi.

Dalam konteks Malaysia pula, sebahagian besar daripada kita masih belum bersedia menjadikan membaca sebagai gaya hidup.

Berdasarkan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia (1996) kadar celik huruf di Malaysia adalah tinggi iaitu sekitar 93 peratus. Namun dari segi penggunaan perpustakaan, hanya 29 peratus rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan ini.

Daripada kajian ini juga didapati rakyat Malaysia secara puratanya hanya membaca dua buku setahun dan bahan bacaan yang paling digemari ialah komik. Ini diikuti majalah, buku dan surat khabar.

Dalam kajian itu juga didapati bahawa alasan kepada kurangnya minat membaca ialah "tiada masa" dan "tidak ada minat".

Paparan data di atas membuktikan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia memang rendah. Jika hendak dibuat perbandingan, rakyat Jepun membaca sekurang-kurangnya dua buku sebulan. Jumlah ini tinggi berbanding di Malaysia.

Kajian itu walaupun dijalankan lapan tahun lalu, ia masih relevan. Namun, kajian yang baru perlu dijalankan untuk melihat perubahannya. Begitu pun, penulis agak pesimistik akan berlakunya perubahan besar atas kajian ini kerana amalan membaca masih belum menjadi budaya rakyat Malaysia.

Oleh itu, janganlah kita membiarkan diri terus leka. Mulalah membaca kerana faedah yang diperoleh daripadanya memang banyak. Jangan menganggap bahawa membaca itu susah atau leceh kerana jika selalu beranggapan sedemikian, maka susah jadinya.

Anda boleh memulakan dengan yang mudah dulu. Bak kata orang, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Kevin Eikenberry, seorang jururunding pembelajaran mencadangkan beberapa kaedah mudah untuk meningkatkan pembacaan.

Pertama, selalu membawa buku ke mana-mana kerana anda tidak tahu bila akan memerlukannya. Tentukan juga matlamat pembacaan. Matlamat itu perlulah realistik dan mudah dicapai. Misalnya, anda menetapkan bahawa anda akan membaca satu buku sebulan atau satu bab seminggu dan sebagainya.

Simpan satu log buku yang menunjukkan buku yang dibaca. Log ini akan membuatkan anda berasa bangga dengan pencapaian anda. Pada masa sama, buatkan senarai buku yang ingin dibaca pada masa akan datang. Tanyalah rakan anda buku apa yang menarik untuk dibaca.

Anda juga digalakkan menyertai kumpulan membaca. Perjumpaan boleh diadakan sekali dalam sebulan untuk membincangkan buku yang sedang dibaca. Membaca secara berkumpulan boleh meningkatkan motivasi dan pertukaran idea. Ahli kumpulan boleh daripada rakan, jiran dan paling penting ahli keluarga sendiri.

Kurangkan menonton televisyen. Pergi perpustakaan dan kedai buku dengan lebih kerap. Anda akan mendapat lebih banyak idea mengenai buku yang hendak dibaca dengan mengunjungi tempat sedemikian.

Cadangan terakhir Eikenberry ialah "Drop Everything and Read". Sempena Bulan Membaca Kebangsaan ini, mulalah membaca sekarang dan jangan tunggu lagi.

Marilah hayati ayat 11, surah Mujadalah yang bermaksud: "... supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (di kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya terhadap apa yang kamu lakukan."

Ayat ini meyakinkan kita semua bahawa orang yang berilmu mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dan pastinya akan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...