RSS

Anak perempuan boleh bertutur lebih awal

JANTINA mewujudkan dua kesan utama. Pertama ialah kesan langsungnya terhadap perkembangan kanak-kanak. Kesan langsung ini berpunca daripada sejumlah kecil hormon pada kanak-kanak lelaki dan perempuan. Kedua-dua jantina ini mengeluarkan hormon androgen (hormon lelaki) dan oestrogen (hormon perempuan).

Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki mengeluarkan lebih banyak hormon androgen, dan kanak-kanak perempuan mengeluarkan lebih banyak hormon oestrogen. Hormon inilah yang bertanggungjawab membezakan perkembangan antara kanak-kanak lelaki dengan perempuan.

Kedua ialah kesan tidak langsung jantina terhadap perkembangan yang berpunca daripada keadaan persekitaran. Sejak lahir kanak-kanak dikenakan tekanan sosial yang kuat supaya mereka berkelakuan mengikut pola tingkah laku yang sesuai dengan jantina mereka seperti diamalkan masyarakat dan budaya mereka.

Sepanjang zaman kanak-kanak mereka, tingkah laku kanak-kanak lelaki dan perempuan dibentuk mula-mulanya keluarga, kemudian kumpulan rakan sebaya, sekolah, guru dan masyarakat mengikut pola yang dianggap bersesuaian dengan jantina mereka.

Perbezaan jantina dalam perolehan kemahiran

Ramai ibu bapa berpendapat, perbezaan jantina bukan saja mempengaruhi kadar perkembangan kemahiran, malah juga jenis kemahiran itu. Dari segi perkembangan fizikal misalnya, kanak-kanak perempuan mengalami pertumbuhan lebih cepat berbanding lelaki. Mereka juga mencapai tahap kematangan dan keremajaan lebih.

Selain itu, pertumbuhan fizikal kanak-kanak perempuan lebih tetap dan mudah diduga berbanding kanak-kanak lelaki. Sebelum peringkat akil baligh, kekuatan dan kepantasan kanak-kanak perempuan dan lelaki tidak banyak berbeza. Tetapi selepas peringkat akil baligh, kanak-kanak lelaki menjadi lebih kuat dan lebih pantas.

Otot dan tulang mereka begitu ketara dan mereka juga mempunyai kurang lemak. Kanak-kanak lelaki yang akil baligh mempunyai jantung dan paru-paru lebih besar untuk menampung keupayaan peredaran oksigen lebih banyak yang diperlukan oleh darah untuk otot dan tulang mereka yang semakin banyak.

Pada peringkat prasekolah, kanak-kanak perempuan sudah melompat dengan sebelah kaki dan melakukan pergerakan berirama serta menyeimbangkan badan lebih baik daripada kanak-kanak lelaki.

Selepas peringkat itu, kanak-kanak lelaki lebih baik dalam kegiatan berlari, melompat dan melontar, sementara kanak-kanak perempuan lebih baik dalam kegiatan melompat dengan sebelah kaki.

Dari segi perkembangan intelek, tiada perbezaan antara kanak-kanak lelaki dengan perempuan berdasarkan ujian IQ yang dilakukan. Bagaimanapun, dari segi kemahiran berbahasa, kanak-kanak perempuan lebih cepat dalam beberapa aspek bahasa pada peringkat awal. Sebahagian besar kanak-kanak perempuan boleh bertutur lebih awal berbanding kanak-kanak lelaki, dan hampir semua mereka boleh menggabungkan perkataan untuk membentuk ayat lebih panjang.

Kemahiran ini bukan saja berlaku pada peringkat awal mereka boleh bertutur, malah juga pada peringkat seterusnya dalam kehidupan mereka. Kanak-kanak perempuan boleh membaca dan menulis lebih awal berbanding kanak-kanak lelaki.

Tatabahasa dan ejaan mereka juga lebih baik daripada kanak-kanak lelaki. Pada peringkat remaja, kanak-kanak perempuan lebih baik dari segi artikulasi dan sebutan serta tidak begitu menghadapi masalah membaca. Mereka juga lebih baik dari segi taakulan berbahasa dan kurang mengalami gangguan bahasa berbanding kanak-kanak lelaki.

Dari kecil hingga remaja, kanak-kanak perempuan lebih baik dalam aritmetik, tetapi selepas peringkat remaja, kanak-kanak lelaki memperoleh markah lebih baik dalam tugas yang memerlukan taakulan aritmetik. Kanak-kanak lelaki lebih baik dalam visualisasi ruang tidak kira pada peringkat umur mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...