RSS

Realiti Ekonomi Umat Islam

Oleh : Mazilan Musa ( Fellow IKIM )


Kelemahan pencapaian ekonomi merupakan suatu masalah yang sering dikaitkan dengan umat Islam, di dunia umumnya mahu pun di Malaysia khususnya. Bagaimanakah umat Islam boleh begitu terbelakang pencapaian ekonomi mereka sehinggakan Islam dan kemiskinan itu menjadi sinonim? Di dalam artikel ini penulis cuba menghuraikan permasalahan ini secara objektif. Senario ekonomi umat Islam Di Malaysia, perangkaan menunjukkan bahawa setakat ini umat Islam yang mewakili lebih kurang 60 peratus penduduk negara ini hanya menguasai lebih kurang 20 peratus sahaja daripada ekonomi. Walaupun ini menunjukkan satu peningkatan di mana kita hanya menguasai lebih kurang 5 peratus sahaja ekonomi negara pada tahun 1970, penguasaan kita masih rendah berbanding kaum Cina yang menguasai 60 peratus daripada ekonomi. Oleh itu, umat Islam di Malaysia masih belum boleh berpuas hati dan berbangga sepenuhnya dengan pencapaian ekonomi mereka setakat ini. Umat Islam di negara ini perlu sentiasa diingatkan tentang kedudukan ekonomi mereka yang masih terbelakang.Dalam konteks ekonomi dunia pula, kebanyakan negara Islam jatuh ke dalam kategori negara kurang membangun. Walau pun negara Islam menghasilkan 44.5 peratus daripada pengeluaran minyak mentah dunia (1989 – 1995), secara keseluruhannya pencapaian ekonomi negara-negara Islam masih rendah. Sebagai contoh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Islam hanya 4.7 peratus daripada KDNK dunia. Pada tahun 1996, ekspot negara Islam hanya mewakili 7.7 peratus daripada ekspot dunia (USD 396 billion / USD 5,141 billion). Begitu juga dengan impot negara Islam yang hanya 7.43 peratus daripada impot dunia ( USD 395.318 billion / USD 5,313.50 billion).

Kadar kemiskinan di Malaysia

Secara umumnya kadar kemiskinan di negara ini adalah rendah dan semakin menurun (lihat Jadual 1).Jadual 1: Kadar Kemiskinan Di Malaysia

1997 2000

Jumlah Bandar L/bandar Jumlah Bandar L/bandar
Kadar kemiskinan 6.1% 2.1% 10.9% 5.5% 1.9% 10.0%
Bil. isi rumah termiskin 294.4K 55.4K 239.0K 276.0K 53.2K 222.8K


(Sumber: Laporan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh). Jadual 1 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan adalah lebih tinggi (2 angka) di kalangan penduduk luar bandar. Seperti mana yang kita ketahui, penduduk luar bandar ini majoritinya ialah orang Melayu yang beragama Islam. Begitu juga jika statistik kadar kemiskinan ini dilihat mengikut negeri. Masih terdapat beberapa buah negeri di Malaysia ini yang mana kadar kemiskinan penduduknya masih tinggi (lihat Jadual 2). Jadual 2: Kadar Kemiskinan Negeri Pilihan (1997).

Negeri Kadar Kemiskinan
1 Kelantan 19.2%
2 Terengganu 17.3%
3 Sabah 16.5%
4 Kedah 11.5%
5 Perlis 10.7%


Bagi negeri-negeri ini, majoriti penduduknya adalah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam. Umat Islam tidak bersatu dan tidak saling menyokong di antara satu sama lain. Ini adalah di antara punca kegagalan kebanyakan usaha niaga milik pengusaha Islam. Kita tidak menyokong bangsa sendiri dan yang paling malang sekali ialah kita iri hati dengan kejayaan mereka. Kita lazimnya sangat sensitif dengan kurang layanan oleh peniaga bangsa sendiri. Dalam masa yang sama rela pula ditipu dan ditengking oleh peniaga lain. Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara Islam mesti sepakat dalam membangunkan kegiatan ekonomi sesama mereka sekali gus meningkatkan ekonomi umat Islam. Buat masa ini, kebanyakan negara Islam kaya melaburkan dana mereka di barat. Terdapat banyak negara Islam yang masih mundur. Menarik minat pelabur negara maju ke negara seperti ini adalah sukar memandangkan kemudahan infrastruktur (pendidikan, pengangkutan, sistem kewangan, dsb.) yang amat terhad. Oleh itu, negara-negara Islam kaya mungkin boleh membantu dalam membiayai pembangunan infrastruktur tersebut. Dengan cara ini negara-negara Islam miskin tersebut lebih bersedia untuk menarik pelaburan daripada pelabur-pelabur negara maju. Sebagai kesimpulannya, umat Islam perlu meningkatkan taraf ekonomi mereka agar menjadi suatu umat yang disegani dan didengar pandangan mereka. Pembangunan ekonomi ummah perlu bermula dengan peningkatan taraf ekonomi individu. Sekiranya ini dilakukan, maka secara kolektif, ekonomi umat Islam akan maju. Insya Allah.


http://www.bizcom.net.my/?mod=biz_mod_content&id=35&cms=article&pg=

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Genetik Penentu Kejayaan Usahawan

Genetik bukan sekadar berkait dengan kelahiran dan asal usul seseorang tetapi juga menjadi inspirasi biologi yang menentukan kejayaan usahawan, dakwa ahli perniagaan terkemuka Amerika Syarikat (AS), Donald John Trump.

Katanya, ini adalah hakikat yang perlu diperakui kebenarannya, walaupun sesetengah pihak mungkin tidak mempercayainya. Beliau mengakui memang mudah untuk menjadi seorang usahawan tetapi untuk mempertahankannya tidaklah semudah yang disangkakan.

Katanya, bidang perniagaan juga memerlukan keberanian kerana tuah bukan sentiasa ‘mendampingi’ usahawan. “Bukan mudah untuk mendapat individu bertuah seperti orang terkaya di dunia iaitu Pengerusi Microsoft Corporation, Bill Gates kerana dalam perniagaan tiada jalan pintas,’’ katanya dalam sidang video selama 20 minit sempena Forum Kepimpinan Global di sini hari ini.

Trump yang popular kerana siri televisyen realiti The Apprentice, pernah diiktiraf sebagai usahawan dan pemaju hartanah terbaik AS pada tahun 1980-an dan 1990-an. Katanya: ‘‘Kejayaan usahawan banyak dipengaruhi genetik yang membezakannya dengan profesion lain. Ini menyebabkan bukan semua individu secocok dengan identiti dan sifat semula jadi seorang usahawan.

“Sebab itu, majoriti penduduk dunia lebih senang bekerja di pejabat mulai pukul 9 pagi dan pulang 5 petang berbanding kerjaya seorang usahawan yang terpaksa bekerja lebih masa. ”Menceritakan pengalamannya sendiri, Trump berkata, beliau adalah salah satu daripada ahli perniagaan yang berasal daripada keluarga usahawan.

Beliau yang merupakan generasi ketiga keluarga tersebut berkata, untuk berjaya sebagai usahawan, individu perlu menyukai setiap apa yang dilakukan kerana bidang itu sangat sukar. “Usahawan yang rasa selesa dengan bidang tersebut akan mempunyai sifat semula jadi tidak akan mudah putus asa, tidak cepat mengalah dan sentiasa bersemangat walaupun mengalami kegagalan,” katanya.

Menyentuh mengenai kegagalannya dalam bidang perniagaan, Trump berkata, beliau pernah jatuh bankrap tetapi mampu bangun semula sehingga berjaya mengumpul aset berjumlah AS$1.6 bilion. Katanya, faktor utama yang menyebabkan usahawan gagal ialah apabila mereka kehilangan momentum.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Mengapa Usahawan GAGAL?

Walaupun berniaga sendiri banyak kelebihannya, ada sesetengah usahawan gagal menjalankan perniagaan mereka. Antara faktor dan sebab mengapa usahawan gagal dijelaskan sebagaimana yang berikut:

· Gagal merancang dengan baik ataupun tidak tahu merancang. Mereka yang gagal merancang, sebenarnya merancang supaya gagal. Walaupun rancangan mungkin dibuat, ia tidak spesifik dan sekadar, "Saya mahu untung tahun ini!" Berapa sasaran untungnya dan bagaimana merealisasikannya, tidak ditetapkan. Akhirnya, impian jadi seperti angan-angan Mat Jenin.

· Gagal mengurus aliran tunai. Tiada catatan dan rekod transaksi yang membolehkan aliran wang keluar dan masuk diketahui dengan tepat dan dipantau. Sesetengah usahawan berpendapat, wang masuk adalah keuntungan dan sebagai pemilik perniagaan, mereka berhak membelanjakan wang bagi apa saja tujuan, termasuk perkara yang tidak menguntungkan perniagaan.

· Suka bertangguh. Sikap ini pada awalnya mungkin tidak memberikan masalah besar, tetapi apabila dibiarkan, ia memberi kesan pada pengurusan perniagaan. Dokumen jadi bertimbun kerana lewat diproses, masa terbuang dengan mencari maklumat dan akhirnya keputusan yang dibuat adalah tidak tepat serta merugikan perniagaan.

· Mengambil mudah aspek persaingan. Usahawan mengambil pendirian, 'rezeki secupak tidak akan jadi segantang'. Mereka juga terlalu yakin dengan kelebihan diri kerana sudah lama bertapak dan dikenali ramai, tidak berusaha supaya terus berdaya saing serta tiada usaha mempembaharui dan mengunikkan produk dan perkhidmatan.

· Strategi pemasaran yang tidak berkesan. Strategi pemasaran yang digunakan tidak berkesan bagi menarik pelanggan. Malah, ianya tidak berjaya mengekalkan pelanggan yang sedia ada. Pelanggan lebih tertarik dengan pesaing yang strategi pemasarannya jauh lebih berkesan.

· Khidmat pelanggan yang tidak cekap. Usahawan hanya memikirkan bagaimana mendapatkan pelanggan tetapi tidak memikirkan cara mengekalkan pelanggan. Hakikatnya, mengekalkan pelanggan adalah lebih sukar daripada mendapatkan pelanggan.

· Pekerja tidak cekap dan tidak amanah. Pekerja diambil tidak berdasarkan kemahiran dan sikap yang betul. Usahawan tidak membuat pelaburan bagi melatih pekerja dan tidak meluangkan masa yang cukup bagi menyelia pekerja.

· Kemahiran terhad. Usahawan mahir dalam satu bidang sahaja. Sebagai contoh, usahawan produk kraf tangan perlu juga ada pengetahuan dalam aspek komunikasi, pemasaran, komputer, perhubungan awam dan sebagainya.

· Lokasi perniagaan tidak sesuai. Kedai sukar disinggahi ataupun pelanggan sukar pergi ke kedai itu. Misalnya, kedai berada di tengah-tengah persimpangan lampu isyarat ataupun terlindung, menggagalkan perniagaan walaupun barangannya bermutu dan banyak pilihan. Pelanggan juga mungkin tidak terperasan apabila kedai pakaian misalnya, terletak di tingkat atas bangunan.

· Tidak berfikiran jauh. Usahawan tidak berfikiran global dan futuristik atau ke hadapan. Mereka tidak tahu ataupun tidak ambil tahu perkembangan semasa pelbagai aspek perniagaan. Barangan yang dijual ataupun perkhidmatan yang diberikan mungkin terkebelakang daripada segi ciri-cirinya dan mempunyai permintaan yang berkurangan. Usahawan perlu menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa dan ia boleh dilakukan dengan menghadiri kursus serta seminar keusahawanan, mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan serta mereka yang pakar dan juga membaca majalah-majalah serta laman web berkaitan usahawan. Majalah Mingguan Wanita misalnya, mempunyai segmen Bina Niaga yang membicarakan kejayaan usahawan tempatan. Usahawan juga boleh membaca majalah Dewan Ekonomi dan melawat laman web seperti www.usahawan.com.

· Kurang pengalaman. Usahawan menjalankan perniagaan dalam bidang yang mereka tidak mahir ataupun tidak minat. Usahawan yang bermula daripada bawah, biasanya lebih berjaya dan kekal lama kerana mereka berpengalaman dalam perniagaan yang dijalankan. Mereka tidak mudah ditipu oleh pelanggan dan pekerja. Mereka juga tidak mudah dikalahkan oleh pesaing.

· Kurang modal kewangan. Perniagaan yang dimulakan tanpa modal yang mencukupi, mungkin menyukarkan usahawan berkembang, mengecewakan pelanggan dan akhirnya menggagalkan perniagaan. Walau bagaimanapun, modal yang sedikit apabila diurus dengan baik, tidak mustahil rezeki secupak menjadi segantang.

· Tiada sistem mengurus akaun yang efisien. Hal ini menyebabkan usahawan tidak tahu kekuatan sebenar perniagaan dan mengesan kelemahan perniagaan pada peringkat awal. Masih ramai usahawan bumiputera tidak mementingkan aspek mengurus akaun dalam perniagaan mereka. Antara sebabnya adalah, mereka gagal memahami bagaimana sistem mengurus akaun yang mantap dapat membantu mereka mengaut untung dan mengelak rugi.

· Terlalu tamak berkembang. Usahawan tidak 'mengukur baju di badan sendiri'. Cawangan yang dibuka tidak kena pada masanya dan tanpa kemampuan kewangan yang mencukupi, menyebabkan usahawan gagal.

· Tiada penyambung kejayaan. Ada perniagaan gagal bertahan lama kerana individu yang bertanggungjawab membangunkan perniagaan, jatuh sakit ataupun meninggal dunia. Malangnya, tiada siapa yang berkebolehan dan terlatih, dapat mengambil alih perniagaannya. Ada perniagaan yang berjaya pada zaman 'pentadbiran' si ayah, tetapi menjadi kucar kacir apabila tampuk 'pemerintahan' diambil alih oleh si anak.

· Rakan kongsi berpecah. Perniagaan yang berpotensi juga boleh gagal akibat rakan kongsi yang tidak sehaluan.

· Sikap negatif usahawan. Perniagaan boleh gagal disebabkan oleh sifat negatif yang dimiliki oleh usahawan seperti hasad dengki, boros, tamak, pemarah, berprasangka, terlalu berahsia dan individualistik

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...