RSS

Hikmah Untuk Kita Semua

Assalamu'alaikum...:senyum:


1. Tiga perkara yang mesti dijauhi:

Telah bersabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

" Barang siapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya. Barangsiapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada Allah. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaanya maka telah hilang dua pertiga agamanya."

2. Empat perkara yang berharga dalam diri manusia:

Telah bersabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

"Ada empat macam yang berharga dalam diri manusia dan ia boleh hilang dengan empat sebab. Adapun yang berharga itu ialah akal, agama, malu dan amal soleh. Maka akal boleh hilang disebabkan marah. Agama boleh hilang disebabkan dengki. Malu boleh hilang disebabkan tamak dan amal soleh boleh terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain."


3. Lima macam yang dicintai dan lima perkara yang dilupakan:

Nabi Muhammad saw telah bersabda yang bermaksud :

"Akan datang satu masa umatku, ketika itu mereka mencintai lima macam dan melupakan lima perkara iaitu : Mereka mencintai kepada dunia dan lupa kepada akhirat. Mereka mencintai kepada kehidupan dan lupa kepada kematian. Mereka cinta kepada istana dan lupa kepada kuburan. Mereka cinta kepada harta dan lupa kepada perhitungan di akhirat. Dan mereka cinta kepada makhluk dan lupa kepada Allah."

4. Cantiknya iman dan amal soleh:

Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw ada bersabda yang bermaksud:

"Ada dua macam yang tidak ada sesuatu yang lebih baik dari keduanya: Beriman kepada Allah. Memberi manfaat kepada muslimin. Dan ada dua macam yang tidak ada sesuatu yang lebih buruk dari keduanya : Mensyirikkan Allah. Menyakiti kaum muslimin."


5. Jalan untuk dicintai orang yang dicintai:

Dari Usman ra yang bermaksud :

"Siapa yang meninggalkan dunia, dia akan dicintai oleh Allah SWT. Siapa yang meninggalkan perbuatan dosa, dia akan dicintai oleh para malaikat. Dan siapa yang membuang sifat tamaknya terhadap kaum muslimin maka dia akan dicintai oleh mereka."

6. Tiga yang menyelamatkan, tiga yang membinasakan, tiga yang boleh mengangkat
darjat dan tiga pula yang boleh menghapuskan dosa:

Dari Abu Hurairah ra, bahawa Nabi Muhammad saw telah bersabda yang bermaksud:

"Ada tiga hal yang boleh menyelamatkan, ada tiga hal yang boleh membinasakan, serta ada tiga perkara yang dapat meninggikan darjat dan ada tiga perkara pula yang menghapuskan dosa. Ada pun yang boleh menyelamatkan itu ialah : Takut kepada Allah SWT pada masa bersembunyi dan berterang-terangan. Berjimat dalam keadaan miskin dan kaya. Tetap adil ketika senang dan marah.Ada pun hal-hal yang boleh membinasakan ialah : Amat bakhil. Memperturutkan nafsu. Merasa hairan melihat kehebatan dirinya. Dan ada pun perkara-perkara yang meninggikan darjat : Menyebarkan ucapan salam. Suka memberi makan. Melaksanakan solat di waktu malam ketika orang-orang sedang nyenyak tidur. Sedangkan hal-hal yang mampu menghapuskan dosa ialah : Tetap menyempurnakan solat di tengah-tengah malam yang amat sejuk. Melangkah kaki ke tempat di adakan solat jemaah. Suka menunggu kedatangan solat."


7. Enam perkara yang asing bila berada di enam tempat:

Telah bersabda Rasulullah saw, yang bermaksud:

"Enam perkara yang dipandang asing di enam tempat, iaitu : Masjid adalah asing di kalangan orang-orang yang tidak sembahyang di dalamnya. Al-Quran adalah asing di rumah orang-orang yang tidak mahu membacanya. Al-Quran juga adalah asing di dalam hati orang-orang yang fasik (iaitu orang-orang yang tidak mahu mengamalkan isinya). Seorang muslimah yang soleh dipandang asing di sisi lelaki yang zalim, yang buruk perangainya. Lelaki muslim yang soleh adalah asing di samping perempuan yang hina, yang buruk akhlaknya. Dan orang alim adalah asing dikalangan kaum yang tidak mahu mendengar nasihatnya." Kemudian Nabi Muhammad saw bersabda:
" Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memandang mereka di hari kiamat dengan pandangan kasihan."

8. Hati perlukan sinar ilmu sebagaimana tanah memerlukan siraman air hujan:

Rasulullah saw telah berpesan, yang bermaksud :

" Mestilah kamu selalu duduk dekat orang-orang alim dan mendengar cakap ahli-ahli hikmah kerana sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati yang mati dengan nur hikmah (sinar ilmu) sebagaimana Dia menghidupkan tanah yang mati dengan siraman air hujan".

Hikmah Untuk Kita Semua

1. Menuju kesempurnaan akal, ilmu dan sumber rezeki:
Umar ra berkata yang bermaksud : "Pandai mengasihi orang setengah daripada akal. Pandai bertanya setengah daripada ilmu dan pandai merancang setengah daripada sumber rezeki".

2. Tiga jenis manusia yang akan mendapat perlindungan Allah SWT di hari Kiamat:
Telah bersabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: " Ada tiga orang yang akan diberi perlindungan oleh Allah SWT di hari kiamat nanti : Orang yang tetap berwuduk pada waktu-waktu yang sulit. Orang yang berjalan ke masjid untuk menunaikan solat pada malam-malam yang gelap iaitu solat Maghrib dan Isyak. Orang yang suka memberi makanan kepada orang yang kelaparan."

Dimanakah kita?...

Hikmah Untuk Kita Semua

1. Sunnah Allah, sunnah para rasul-Nya dan sunnah para wali-Nya:
Dari Ali ra yang bermaksud: "Siapa yang tidak ada padanya sunnah Allah dan sunnah para rasulnya dan sunnah para walinya, maka dia dipandang tidak ada nilai sedikit pun. Lalu dia ditanya: Apakah sunnah Allah itu? Jawabnya,menyembunyikan rahsia. Lalu dia ditanya lagi: Apakah sunnah rasul? Jawabnya,berlaku lembut di antara sesama manusia. Kemudian dia ditanya lagi: Apakah sunnah para wali. Jawabnya, menjauhkan gangguan dari kaum muslimin".

2. Orang-orang yang dahulu yang hidup sebelum kita mereka saling berpesan tentang tiga perkara dan saling kirim mengirim ( sebagai nasihat ) :Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah mencukupkan baginya akan perkara agamanya dan perkara dunianya. Dan siapa yang membaguskan niatnya yang tersembunyi,maka Allah membaguskan keadaannya yang nyata. Dan siapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah memperbaiki hubungannya dengan semua manusia.

Moga kita diredhai Allah...

Wallahu'alam...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...