RSS

ADAB-ADAB HARI JUMAAT

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

*ADAB-ADAB HARI JUMAAT*
*DARI KITAB HIDAYATUS SALIKIN*

1) Hendaklah engkau bersedia baginya mulai hari Khamis dengan menyuci kain dan menyuci baju dan membanyakkan mengucap tasbih dan istighfar pada petang-petang hari Khamis itu kerana waktu yang demikian itu menyamai fadhilatnya akan waktu pada hari Jumaat.

2) Sunat engkau puasa pada hari Jumaat itu, tetapi hendaklah engkau sertakan dengan puasa pada hari Sabtu atau hari Khamis, kerana makruh puasa pada hari Jumaat itu dengan tiada disertakan dengan puasa pada hari Sabtu ataupun hari Khamis.

3) Apabila terbit fajar adalah sunat engkau mandi kerana waktu mandi Jumaat itu daripada terbit fajar hingga mengerjakan sembahyang Jumaat, tetapi pada waktu hampir hendak pergi solat Jumaat itu adalah terlebih afdhal.

4) Sunat menghias diri dengan memakai pakaian yang berwarna putih, kerana pakaian yang putih itu adalah disukai Allah SWT.

5) Sunat memakai bau-bauan yang harum seperti kasturi dan barang yang sebagainya, dan makruh memakai zabad (sulbi kepada musang) kerana ia adalah pakaian orang perempuan.

6) Berlebih-lebihan pada mencuci badan dengan menghilangkan bau busuk badan dan menghilangkan kotoran-kotoran pada badan, dan mencukur bulu ari-ari dan mengandam misai, dan mengerat kuku, dan bersugi, dan mencabut bulu ketiak.

7) Sunat berpagi-pagi pergi ke masjid tempat sembahyang Jumaat itu pada hal ia berjalan dengan kelakuan yang tetap dan hadir hatinya kepada Allah SWT serta meluangkan masa dengan berzikir dan membaca al-Quran serta berselawat ke atas Nabi SAW.

8) Apabila masuk ke masjid maka hendaklah ia menuntut saf yang pertama.

~ Masuk ke masjid dengan mendahului kaki kanan sambil membaca doa ini:  

‎أَعُوْذُ بِاللهِ الْعَظِيْمِ، وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ، وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيْمِ، مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ، [بِسْمِ اللهِ، وَالصَّلاَةُ] وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ.

Ertinya:

“Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Agung, dengan wajahNya Yang Mulia dan kekuasaan-Nya yang abadi, dari syaitan yang terkutuk. Dengan nama Allah dan semoga selawat dan salam tercurahkan kepada Rasulullah Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untukku.”

~ Keluar dari masjid dengan mendahului kaki kiri sambil membaca doa ini: 

‎بِسْمِ اللهِ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ، اَللَّهُمَّ اعْصِمْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Ertinya: 

"Dengan nama Allah, semoga selawat dan salam terlimpahkan kepada Rasulullah. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kurnia daripada-Mu. Ya Allah, peliharalah aku dari godaan syaitan yang terkutuk”.

9) Jangan ia melangkah akan bahu orang (yang sudah berada di dalam masjid terlebih dahulu) pada ketika ia masuk ke dalam masjid itu.

10) Jangan ia lalu di hadapan orang yang sedang mendirikan solat ketika itu. Sebaik-baiknya tunggu dulu sehingga dia selesai menunaikan solatnya baru lalu di hadapannya.

11) Sunat ia duduk dekat dewal (dinding) atau dekat tiang. Maka jika tidak mudah yang demikian itu maka sunat ditaruhkan di hadapannya itu sesuatu benda sebagai tanda yang menegah orang lalu lalang di hadapannya.

12) Jangan duduk di dalam masjid hingga engkau tunaikan solat tahiyyatul masjid. Dan jangan engkau tinggalkan akan solat tahiyyatul masjid itu, jika pada ketika khatib sedang membaca khutbah sekalipun, tetapi pada ketika itu jangan dilebihkan daripada 2 rakaat dengan bacaan yang ringkas.

13) Bahawa sunat engkau sembahyang pada hari Jumaat itu 4 rakaat yang lain daripada solat tahiyyatul masjid yang tersebut itu.

14) Bahawa jangan engkau tinggalkan membaca segala surah yang tersebut di bawah ini pada malam Jumaat atau pada hari Jumaat kerana pahala membaca segala surah yang tersebut ini amatlah besar.

- Surah Al-Kahfi 110 ayat - سورة الكهف

- Surah Al-Ikhlas 4 ayat - سورة الاخلاص

- Surah Yaasin 83 ayat - سورة يس

- Surah ad-Dukhan 59 ayat - سورة الدخان

- As-Sajdah 30 ayat - سورة السجدة

- Surah Al-Mulk 30 ayat - سورة الملك

15) Sayugianya (sebaik-baiknya) engkau banyakkan membaca selawat dan salam ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat danpada malamnya, iaitu lebih daripada hari-hari yang lain kerana kelebihan membaca selawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat itu amat banyak.

16) Apabila keluar imam dan naik ia ke atas mimbar maka tiada harus solat, lagi tiada sah solatnya melainkan solat tahiyatul masjid 2 rakaat atau 2 rakaat sunat Jumaat pada ketika ia masuk ke dalam masjid. Dan makruh pada ketika itu berkata-kata melainkan untuk menjawab laungan azan, maka itu adalah sunat.

17) Apabila selesai daripada solat Jumaat maka sunat ia membaca Al-Fatihah 7 kali, dan Al-Ikhlas 7 kali, dan Al-Falaq 7 kali, dan An-Nas 7 kali dahulu daripada berkata-kata. Maka yang demikian itu memeliharakan ia daripada segala kejahatan daripada satu Jumaat kepada satu Jumaat yang lainnya, dan lagi memeliharakan ia bagimu daripada gangguan syaitan.

18) Sunat kemudian daripada solat Jumaat itu duduk di masjid hingga Maghrib atau hingga Asar serta berniat iktikaf. Dan hendaklah engkau pada ketika yang demikian itu sungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT serta khusyuk dan tawadhuk, kerana di dalam hari Jumaat dan pada malamnya itu ada satu saat yang paling mustajab berdoa yang tidak tertentu waktunya, maka mudah-mudahan kebetulan doamu itu jatuh pada saat yang mustajab itu.

Perhatian : Sebaiknya membanyakkan berdoa pada hari Jumaat itu pada beberapa waktu iaitu pada: waktu terbit matahari;  waktu gelincir matahari; waktu masuk matahari; waktu iqamat; waktu khatib naik ke mimbar, dan ketika berdiri manusia untuk menunaikan solat kerana segala waktu yang demikian itu sangat diharap akan mustajabnya.

* (Waktu-waktu yang diharap mustajab untuk berdoa itu adalah melalui pengalaman-pengalaman rohaniah para ulama').

20) Hendaklah engkau bersungguh-sungguh memberi sedekah pada hari Jumaat itu dengan barang seikhlasmu walau sedikit sekalipun. Maka hendaklah engkau himpunkan pada hari itu antara solat dan puasa dan sedekah dan membaca al-Quran dan berzikir dan membaca selawat ke atas Nabi SAW dan beriktikaf di masjid. Dan hendaklah engkau jadikan hari Jumaat itu sebagai satu hari tertentu bagi akhiratmu. Maka mudah-mudahan jadi kaffarat bagi segala hari yang lain daripada hari Jumaat itu.  

#Sumber : Kitab Hidayah al-Salikin - Syeikh Abd Samad al-Falambani.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...