RSS

Amalan Tanpa Faham akan Pokok Pangkalnya




neoworx



Apabila bertahun-tahun membaca "Wa ana minal musyrikeen…"

BERCAKAP tentang ilmu, saya teringat kepada perbualan saya dengan seorang ustaz yang mengajar "Kursus Menghalusi Solat". Dia menceritakan suatu peristiwa apabila pada satu hari dia menyuruh pelajar-pelajar dewasanya membaca doa al-Iftitah (atau Allahu Akbar Kabiran).

Salah seorang daripada pelajarnya yang berusia dalam lingkungan 40an telah membaca di akhir doa tersebut dengan lafaz 'wa ana minal musyrikeen' (dan saya dari golongan orang-orang musyrik) yang sepatutnya 'wa ana minal muslimeen' (dan saya dari golongan orang-orang Islam). Apabila disuruh ulangi bacaannya, kata ustaz tersebut, begitulah lafaz yang dibacanya. Alangkah terkejutnya apabila diberitahu makna doa yang dibacanya. Sekian lama itulah doa yang dibaca di dalam solat lima waktu.

Apa yang ingin saya ketengahkan di sini adalah sikap sesetengah daripada kita terhadap ilmu agama yang telah kita pelajari. Ada di antara kita yang masih lagi mengamalkan apa yang dipelajari semasa kanak-kanak tanpa memeriksa samada ilmu itu perlu diperbaiki atau tidak. Sudahkah kita memeriksa bacaan yang kita baca di dalam solat dengan orang yang berpengetahuan? Atau mungkin ilmu yang sedia ada perlu ditingkatkan? Lebih-lebih lagi mengenai pengetahuan kita dalam ilmu tauhid yang menentukan adakah seorang itu dari kalangan orang yang beriman atau sebaliknya.

Mengenai pengetahuan kita di dalam solat pula, ada di kalangan kita yang bertahun-tahun mengerjakan solat tanpa mengetahui makna atau maksud bacaan-bacaan di dalam solat. Sebagai contoh, berapa ramai yang berdoa Qunut setiap pagi tetapi tidak mengetahui apa yang dipohonnya. Atau bacaan yang mudah seperti bacaan sewaktu rukuk - Subhana rabbiyal azhimi was bihamdihi. Adakah kita mengetahui bacaan yang kita baca?. Tidak pernahkah terlintas di hati kita untuk menghafal makna bacaan apa yang kita baca di dalam solat? Saya yakin bahwa jika kita meluangkan sedikit masa setiap hari untuk menghafal makna bacaan-bacaan di dalam solat, dalam masa seminggu kita boleh menghafal bacaan tersebut sepenuhnya.

Kini tiba masanya untuk kita meningkatkan kualiti ibadat terutamanya solat, berdoa dan sebagainya yang kita sering kerjakan seharian. Sungguh malang orang yang bertahun-tahun berdoa di dalam bahasa Arab tetapi tidak mengetahui apa yang didoakan. Sungguh Allah tidak menerima doa orang yang lalai (atau tidak mengetahui maksud) apa yang didoanya. Kadang kala kita menyerahkan nasib orang yang telah kembali ke rahmatullah di alam barzakh kepada orang lain untuk membacanya tanpa mengetahui apa yang dibacanya. Orang yang telah meninggal dunia berhajatkan kepada doa ahli keluarganya. Tetapi oleh kerana sikap kita yang endah tidak endah dengan ilmu pengetahuan, mungkin hampalah hajat mereka. Berdoalah dengan penuh harapan dan tangisan kepada Allah untuk mereka yang telah meninggalkan kita di dalam bahasa yang kita faham maksudnya.

Alangkah baiknya jika kita beramal dengan amalan yang didasari ilmu yang hakiki. Bukan amalan yang berdasarkan ketidaktahuan atau ketidakpastian. Periksalah dengan ustaz-ustazah atau orang yang berilmu salah betulnya bacaan kita dan buanglah rasa malu yang tidak bertempat untuk bersemuka dengan mereka. Bertekadlah untuk menghafal makna bacaan-bacaan dan doa-doa di dalam solat seluruhnya walaupun sebaris sehari. Ingatlah perkara pertama yang akan diperiksa di hari akhirat adalah kualiti solat yang kita kerjakan. Marilah kita pertingkatkan ilmu dan amalan agama kita agar kehidupan kita selamat di dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabbal 'Alamin.

sumber: http://pu3seven.blogdrive.com/

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...