RSS

Tafsir Surah An-Nisa' ayat 32

Allah SWT memberi pahala kepada sesiapa yang mempunyai cita-cita atau
niat yang baik.

Tetapi jangan pula ada di kalangan umat Islam cuba meminda apa yang
ditetapkan oleh Allah termasuk soal hukum halal dan haram kerana ia
membawa padah kepada umat manusia seluruhnya.

Ayat ini menegur rasa tidak puas hati Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a.
terhadap kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kaum lelaki dalam
pemberian harta pesaka dan tanggungjawab peperangan di mana kaum lelaki
memperolehi dua bahagian dari harta pesaka sedangkan kaum perempuan
hanya mendapat satu bahagian sahaja dan kaum lelaki pula diwajibkan
berperang di medan peperangan manakala kaum perempuan sebaliknya.

Firman Allah yang bermaksud:"Orang-orang lelaki ada bahagian dari apa
yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari
apa yang mereka usahakan." (Surah An-Nisa': 32)

Allah memberi ganjaran pahala kepada semua pihak sama ada lelaki atau
perempuan di kalangan umat Islam.

Jika kaum lelaki mengerjakan satu kebajikan digandakan kepada 10, kaum
perempuan pun digandakan sedemikian rupa. Ini semua adalah ketetapan
Allah.

Bagaimanapun dalam masalah Mirath (pesaka) Allah membuat ketetapan
tersendiri dan tidak sepatutnya ada manusia yang iri hati dengannya.

Firman Allah yang bermaksud:"Dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah
kurnia-Nya." (surah an-Nisa': 32)

Mintalah dengan Allah sesuatu yang dihajati untuk kebaikan dunia dan
akhirat kamu kerana rezeki Allah dan kurniaan-Nya adalah melimpah ruah,
akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud:"Mintalah kepada Allah akan kurnia-Nya, maka sesungguhnya Dia
kasih jika hamba-Nya memohon kurniaan-Nya dan semulia-mulia ibadat itu
ialah menunggu kelepasan daripada penderitaan yang dialami (menunggu
dengan sabar)."

Ibnu Majah menceritakan sebuah hadith bahawa Abu Hurairah meriwayatkan
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang tidak pernah
berdoa, Allah murka kepadanya."

Penyair Islam pula menyebut: "Jangan kamu meminta terlalu banyak sesuatu
kepada manusia tetapi mintalah kepada Allah yang pintu-Nya tidak pernah
ditutup."

Kesimpulan yang boleh diambil di sini ialah satu perbezaan yang cukup
ketara antara kemurahan atau kerahmatan Allah dengan sifat lemah yang
ada pada manusia di mana Allah murka jika hamba-Nya tidak meminta
sesuatu kepada-Nya sebaliknya manusia marah jika ada manusia lain banyak
membuat permohonan sesuatu kepadanya.

Sesungguhnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar sehingga
kurniaannya tidak akan terjejas sedikitpun walau ditunaikan permohonan
sekelian makhluk-Nya sejak Adam sehingga hari qiamat.

Ini dinyatakan dalam hadith qudsi bahawa sekiranya manusia dan jin yang
pertama dan manusia serta jin yang terakhir sampai hari qiamat, berada
di satu tempat memohon kepada Allah dan permohonan itu pula ditunaikan
semuanya nescaya tidak kurang sedikitpun apa yang dimiliki-Nya bak
dicelupkan jarum ke dalam laut.

Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Sumber: BicaraMuslim

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...