Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com
RAMAI bertanya sama ada wujud dalil khusus yang mengehadkan keuntungan halal dalam transaksi jual beli. Jawapan ringkasnya — tiada dalil khusus dalam hal ini.
Sebagai contoh, tiada penyataan dalam nas atau dalil yang melarang kadar untung tidak boleh melebihi 20-30 peratus (%) daripada modal atau lain-lain peratusan.
Ini kerana penetapan keuntungan ini akan melencongkan transaksi itu daripada memberi keadilan buat pihak yang menjual dan membeli.
Di dalam Islam, setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun demikian ia masih terikat dengan harga pasaran.
Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah:
A. Diterima harga pasaran.
B. Jika ia mahu keluar daripada harga pasaran, ia mesti ada sesuatu nilai tambah unik pada kualiti barangan itu. Contohnya, harga pasaran bagi jualan sebuah rumah teres tiga bilik dengan keluasan 22 x 75 kaki adalah RM250,000. Namun penjual mahu menjualnya dengan harga RM400,000 disebabkan ubah suai dalamannya yang cantik.
C. Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar, tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan pada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran.
Tatkala itu, harga jualannya yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran rumah sejenis adalah halal disebabkan perbezaan dan nilai tambah diusahakannya.
Hasil usaha berserta modal itu tadi yang menjadikannya halal menerima imbuhan keuntungan.
Satu contoh lagi, saya masih ingat kisah yang heboh diperkatakan satu ketika dulu berkenaan harga kepala ikan tongkol lauk nasi dagang mencecah RM45. Sudah tentu jika dilihat, ia melebihi harga pasaran.
Namun, jika berjaya dibuktikan nasi dijualnya mempunyai nilai yang sesuai dengan harganya seperti katanya, harga ikan yang digunakan, minyak zaitun atau apa jua yang lain, ia harus dan halal.
Jelas jika barang dimiliki ada ciri khas atau ditambahkan ciri istimewa, tatkala itu ia boleh berbeza dengan harga pasaran biasa.
Adapun bagi penjual barangan yang tiada nilai tambah, atau jika ada sekalipun ia hanya nilai tambah yang kecil seperti rumah teres tadi hanya dicat baru. Tatkala itu, harganya masih tidak boleh naik terlalu tinggi daripada harga pasaran.
Bagi barang yang tiada perbezaan tambah nilai, ulama berbeza pendapat. Ada yang membenarkan tidak lebih 1/6 daripada harga pasaran, ada yang meletakkan 1/3 (pandangan ulama Maliki), 1/2 dan lain-lain.
Bagaimanapun, menurut tahqiq atau analisis terkini yang dibuat oleh Syeikh Prof Dr Muyi din Al-Qurrah Daghi, pandangan terkuat dalam hal ini adalah terserah pada uruf atau suasana setempat. Semua kadar yang diberi tadi semuanya tidak disokong oleh dalil khusus.
Bagaimana jika anda penentu harga pasaran?
Jika ini kesnya, keadaannya berbeza dan anda boleh menentukan harga sendiri dan ia akan diikuti oleh yang lain sehingga diterima ‘harga pasaran’.
Namun perlu diingat, untuk diiktiraf menjadi pihak berwibawa dan dirujuk dalam penentuan harga, sudah tentu:
1. Anda sebuah syarikat yang besar dan mampu memberi kesan kepada pasaran dan syarikat lain.
2. Anda akan terikat dengan kepakaran menilai atau ‘evaluation’ harga kualiti khidmat ditawar atau barang yang dijual, supaya ia bertepatan dengan ‘Thaman al-Mithl’ ( harga sesuai yang bertepatan dengan nilai barang).
Justeru, jika anda meningkatkan harga melambung-lambung tanpa justifikasi tepat, saya yakin anda tidak akan lagi menjadi pakar rujuk harga pasaran selepas ini. Wibawa juga akan hilang.
Kesimpulannya, walaupun anda atau syarikat adalah penentu harga, namun masih terikat dengan proses penentuan harga lain seperti:
A. Permintaan dan penawaran
B. Kesukaran memperolehnya
C. Ia daripada jenis barang asasi atau tidak
D. Pihak yang membeli secara hutang atau tunai
E. Mata wang yang digunakan
F. Jenis transaksi dan lain-lain.
Semua ini memberi kesan dalam penentuan harga. Hal ini banyak dibincangkan dalam perbincangan ekonomi Islam dan pernah dijelaskan oleh Ibn Taimiah dan lain-lain.
Nisbah untung dan dalil
Bagi mereka yang inginkan dalil keharusan harga tanpa had (selagi dalam harga pasaran atau boleh dijustifikasikan secara menepati syariah) berikut antara dalilnya:
Keharusan mengambil untung lebih daripada 100 % dapat dirujuk hadis ini:
1. Ertinya: Sesungguhnya Nabi SAW memberi ‘urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing. Maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung.” (Riwayat Al-Bukhari, no 3642)
Hadis ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan menjualnya dengan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf nabi, malah dipuji dan didoakannya.
2. Satu lagi dalil: Apa yang dilakukan sahabat bernama Zubayr al-Awwam RA, di mana beliau membeli sekeping tanah hutang dengan harga 170,000 dan menjualnya kepada Abdullah bin Zubayr dengan harga 1,600,000. Ini bermakna beliau menjualnya sembilan kali ganda daripada harga asalnya.
Walaupun hadis ini mawquf, tanah ini dijual kepada sahabat lain seperti Mu’awiyah, Abdullah bin Jaffar dan sahabat lain masih hidup tatkala itu, transaksi ini dibuat pada zaman Sayyidina Ali.
Ulama menyatakan, persetujuan sahabat pada zaman itu menjadikannya sebagai ijma’ sahabat, yang boleh menjadi satu dalil kukuh akan keharusannya.
Namun demikian, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha menaikkan harga secara tidak sihat, melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli mengenai harga pasaran atau lain-lain kezaliman, harga yang tinggi tadi menjadi haram.
Bank Islam caj harga lebih harga pasaran atau tidak?
Dalam hal bank Islam yang menjalankan transaksi jual beli (sama ada atas kontrak BBA, Bai Al-Inah dan Murabahah) dalam produk pembiayaan runcitnya, bank ini kerap dikatakan menjual semula rumah tadi dengan harga terlalu mahal.
Contohnya, pembiayaan sebanyak RM200,000. Namun harga yang perlu dibayar semula pelanggan adalah RM400,000 dalam tempoh 25 tahun.
Apa hukumnya? Hukumnya masih harus dan halal kerana itulah harga pasaran bagi setiap pembelian aset yang mahal lagi mudah naik harga (seperti rumah) besar yang ingin dibayar secara ansuran selama 25—30 tahun.
Jika ingin dibuat perbandingan; kebiasaannya nilai sebuah rumah cukup mudah untuk naik dalam beberapa tahun. Seorang kenalan memberitahu, rumah dibelinya di Bukit Damansara sekitar 20 tahun lalu dengan harga RM100,000 ke RM200,000 saja, kini harganya mencecah RM1 juta.
Adakah kita ingin pihak bank menjadikan jangkaan harga selepas 25 tahun itu sebagai harga pasarannya? Sudah tentu tidak rasanya. Justeru, jika bank menawarkan sesuatu harga yang puratanya hanya melebihi 50%—100% daripada harga asal rumah, saya kira itu masih munasabah.
Bagaimana pula kereta yang harganya tidak naik selepas lima tahun tetapi turun? Sudah saya sebutkan tadi, nilai harga akan datang tidak dilihat sangat, justeru harga pasarannya adalah melihat kepada harga tawaran bank lain.
Apapun, harga dan kadar pembelian kereta menggunakan bank konvensional dan Islam adalah hampir sama. Malah pembiayaan kereta secara Islam lebih menarik kerana sebarang kelewatan hanya akan dikenakan 1% denda berbanding 3—5% denda bagi bank konvensional.
Sukar untuk saya terangkan semua fakta dan formula kira-kira di sini, namun sebahagiannya saya terangkan di web zaharuddin.net.
0 comments:
Post a Comment