Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my
KATA peribahasa, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Kata-kata itu sesuai ditujukan kepada dua beranak, Halimah Shuib dan Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali.
Siapa sangka, dengan hanya satu produk — Jamu Mak Dara — ia menjulang nama kedua-duanya, malah dalam tempoh dua tahun kewujudannya, produk itu terus mencatat prestasi mengagumkan. Bermula daripada satu paket jualan pada awal 2006, ia kini mencecah minimum 300 botol sehari.
Barangkali mungkin ramai mengenali jenama Jamu Mak Dara — produk berasaskan herba yang direka khusus untuk wanita dan lelaki bagi meningkatkan prestasi kesihatan.
Bagi yang menggunakan jamu itu, pasti terbayang wajah pengasasnya, Halimah Shuib dan mungkin menjadikan wanita ini sebagai contoh. Meskipun usianya 65 tahun, susuk tubuhnya persis anak dara, malah masih menawan dan ada tarikan.
‘Penangan’ Jamu Mak Dara membuatkan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSDN) yang juga anak keempat Halimah, Syed Muhammad Gadaffi, 35, tidak duduk diam.
Mungkin ini yang dikatakan rezeki dan tuah yang diiringi dengan kesabaran tinggi. Siapa menduga dua beranak itu yang pernah hidup melarat kini meniti kejayaan.
“Saya bersama ibu pernah berkongsi makan mi segera, tidak mampu bayar sewa rumah, bengkel membaiki kereta dijadikan rumah selama tiga tahun, tumpang rumah orang dan paling menyedihkan, ibu tidur di dalam ‘stall’ (gerai tolak) selama dua tahun manakala saya tumpang tidur di rumah seorang rakan berbangsa Cina,” katanya yang lebih dikenali sebagai Abib.
Melayari hidup anak kelahiran Kuala Lumpur (KL) itu, Abib dibesarkan di Selayang sebelum pulang ke kampung di Rengit, Batu Pahat, Johor untuk tinggal bersama nenek sementara ibunya bekerja di Genting Highlands sebagai tukang masak.
Kehidupannya sejak kecil hingga besar, mendidik Abib untuk berdikari. Pada usia sembilan tahun, Adib membantu ibunya menjual kuih-muih di Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang.
Abib pernah dimarahi guru kerana berniaga, namun itu tidak mematahkan semangatnya mencari rezeki, malah dia mula menjual seawal jam 4 pagi di pintu pagar sekolah bagi mengelak dikenakan tindakan.
Ketika di sekolah menengah di Batu Pahat, selain menjual kuih-muih, selepas waktu sekolah Adib bekerja di kedai makan dari tingkatan 1 hingga 5 bermula jam 3 petang hingga 2 pagi.
“Ketika di Rengit, ibu bekerja di Genting Highlands, jadi saya urus diri sendiri. Untuk dapat duit belanja, saya kerja di kedai makan dengan gaji RM1 sehari.
“Duit yang ada saya guna beli buku, baju dan kelengkapan diri. Yuran sekolah juga saya bayar sendiri dengan duit ini dan ada juga minta bantuan guru untuk tolong jelaskan.
“Untuk jimat belanja, saya goreng lebihan makanan di kedai dan simpan untuk dibawa sekolah atau bawa bekal sekeping coklat sementara air paip dijadikan minuman,” katanya.
Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), Adib berhijrah semula ke KL seorang diri dan ada cerita menarik yang disimpan rapi dalam kotak fikirannya selama ini.
“Saya ke KL berbekalkan RM30 saja iaitu duit gaji yang dikumpul selama 30 hari kerja di kedai makan. Saya naik bas dan sampai di Hentian Pudu Raya jam 4 pagi. Kebetulan ada operasi pihak berkuasa untuk menahan pendatang asing.
“Saya ditahan dan tak tahu hendak ke mana, jadi seorang anggota polis mengajak saya tinggal sementara di kuarters polis Dang Wangi. Ketika itu ibu bekerja di istana Brunei sebagai tukang masak.
“Selama empat bulan saya tinggal di sana tapi bukan duduk saja, saya masak, basuh dan gosok baju serta kemas rumah. Mereka baik hati, malah beri duit belanja,” katanya.
Selepas menetap lama di rumah itu, Adib berpindah ke rumah seorang rakan berbangsa Sikh di Sentul dan tinggal di situ hampir tujuh bulan.
Adib memujuk ibunya di Brunei supaya pulang ke KL dan apabila Halimah sampai ke ibu kota, mereka berdua tidur di bekas bengkel kenderaan milik bapanya. Beralaskan kertas surat khabar serta lantai dan dinding yang ada kesan cat hitam, dua beranak itu hidup di sana selama tiga tahun.
“Dalam tempoh itu, saya bekerja sebagai penjual cadar. Ibu pula membeli gerai untuk berniaga menjual nasi campur. Masa itu memang sukar, sudahlah kami ditipu apabila membeli gerai berharga RM2,700 sedangkan harga sebenarnya hanya RM1,500, malah untuk dapatkan lesen sangat sukar sehingga saya terpaksa bermalam di depan bangunan DBKL untuk berbuat demikian,” katanya.
Ketika masing-masing rancak bekerja, bengkel berkenaan diambil semula tuan tanah. Adib terpaksa menumpang tidur di rumah rakan berbangsa Cina manakala ibunya tidak mahu ikut sama, sebaliknya tidur di dalam gerai tolak terbabit.
“Ibu tidak mahu tidur di rumah rakan saya kerana berlainan bangsa dan dia sendiri buka kedai 24 jam sehari. Dia sanggup tidur di dalam gerai itu, malah untuk mandi pula dia terpaksa pergi ke hotel berdekatan dan perlu membayar RM1,” katanya.
Selama dua tahun mereka hidup dalam keadaan begitu sehingga Adib mampu menyewa rumah di Segambut. Selepas itu Adib bekerja di Pasar Borong Online iaitu syarikat yang menjual ikan melalui internet.
Tugas Adib, dia bukan saja perlu mengambil pesanan, malah membeli ikan di pasar borong Selayang, menyiang dan menghantar terus ke rumah pelanggan.
Syarikat terbabit ditutup tidak lama kemudian dan berbekalkan pengalaman yang ada, Adib membuka syarikat sendiri Imalimahome yang menjalankan kegiatan sama.
“Ketika perniagaan semakin maju, kakitangan yang saya upah pula buat hal. Bukan saja dia berhutang dengan tauke ayam sebanyak RM10,000, malah van yang saya beli daripada rakan turut dilarikan.
“Ketika itu saya tak mampu nak bayar sewa rumah, malah terpaksa meminjam daripada rakan untuk bayar hutang ayam. Ketika ini saya terpaksa kongsi mi segera bersama ibu.
“Namun Tuhan Maha Kaya. Ketika saya dilanda masalah, ada seorang rakan bisnes berbangsa Cina hubungi saya bertanya khabar dan apabila dia tahu masalah saya, terus dia bersetuju memberi bantuan RM6,000 sebagai modal untuk saya memulakan bisnes,” katanya.
Dengan wang sebanyak itu, Adib bersama ibu mengambil keputusan menjalankan khidmat katering, namun menghadapi masalah apabila ditipu serta lambat menerima bayaran daripada pelanggan.
Kerana menanggung beban hutang yang banyak, Adib menutup operasi katering dan kemudian Halimah menghasilkan buku resipi makanan tradisional Johor.
“Ibu ditemuramah seorang wartawan majalah mengenai buku resipi terbabit dan kemudian wartawan itu bertanya rahsia kecantikan ibu yang memiliki badan langsing dan cantik. Kata ibu, dia amalkan jamu turun-temurun dan wartawan itu berkata mengapa tidak dikomersialkan,” katanya.
Berikutan itu, timbul idea menjadikan amalan Halimah memakan jamu sejak usia belasan tahun lagi sebagai satu perniagaan, malah wartawan terbabit turut menulis artikel mengenai jamu warisan itu.
“Melalui tulisan itu, ramai menghubungi untuk membeli dan kami bertungkus-lumus menyediakan jamu secara paket. Kami hubungi pembaca yang menelefon dan hantar ke rumah mereka tidak kira mereka minta sepaket atau banyak mana,” katanya.
Adib berkata, nama Jamu Mak Dara yang digunakan itu diambil sempena nama panggilan neneknya di kampung yang dipanggil Mak Dara.
Sejak itu, perniagaan Jamu Mak Dara mendapat sambutan sehingga Adib kini berjaya membuka pejabat sendiri di Pusat Bandar Melawati, Hulu Klang.
PROFIL
NAMA: Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali
USIA: 35 tahun
LAHIR: 12 November 1972 di Hospital Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd dan Yabibdotcom
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang, Selangor dan Sekolah Menengah Tun Sardon Rengit, Batu Pahat, Johor
ADIK-BERADIK: Keempat daripada enam beradik
- Jamu Mak Dara - Amalan ibu pencetus kejayaan
Tuesday, November 11, 2008 |
Labels:
Business Opportunities,
Education,
Financial Education,
Life,
News
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment