RSS

An-Nur: Kering wang operasi

Oleh Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com


SAMBUNGAN MINGGU LALU

MENYAMBUNG semula penulisan saya mengenai krisis kewangan dunia dan perspektif Islam mengenainya, dalam siri terakhir ini saya akan melanjutkan perbincangan mengenai impak negatif yang melanda bank di luar negara sehingga memberi kesan kepada kita di Malaysia.

Apa itu ‘Credit Crunch’ (Keruntuhan Kredit)?

Pihak bank yang mengalami kejatuhan sahamnya di pasaran saham hingga membawa kepada jatuhnya penarafan (rating) akan bimbangkan tahap kemampuan kecairan dan kewangan mereka. Apabila ini berlaku, bank semakin kurang membuat ‘inter bank money market’.

(Penjelasan: biasanya bank bertukar-tukar pinjam dan memberi pinjaman riba secara jangka pendek antara satu sama lain, semuanya bertujuan mendapat untung atau menguruskan kewujudan aliran tunai bank masing-masing, inilah definisi mudah pasaran wang antara bank.

Kelembapan pasaran wang antara bankmenyebabkan bank hanya meluluskan pinjaman atau pembiayaan dengan kos lebih tinggi dan penilaian lebih ketat. Ini yang dinamakan ‘Credit Crunch’ atau keruntuhan kredit.

Ini yang berlaku sekarang hampir di seluruh dunia bermula di Amerika Syarikat (AS) dan merebak ke United Kingdom (UK). Antara sebab kerajaan UK menyuntik berbilion pound supaya pihak bank kembali melaksanakan kebiasaan pasaran wang antara bank.

Dalam Islam, instrumen dalam pasaran wang haram menurut ulama sedunia. Namun dalam sistem perbankan Islam dan di Malaysia terutamanya, mereka ada instrumen tersendiri dalam melaksanakan fungsi pasaran wang dan ia disahkan halal oleh Majlis Syariah Bank Negara Malaysia.

Kembali kepada isu keruntuhan kredit, kesan negatifnya adalah semua industri pembuatan, perkilangan dan lain-lain industri perniagaan yang sentiasa memerlukan injeksi tunai akan terjejas kerana kesempitan tunai dan aliran tunai yang tidak stabil. Ringkasnya, mereka kekeringan wang untuk operasi mereka.

Kesan selanjutnya adalah pembuangan pekerja dan tiada kenaikan gaji atau bonus. Akibatnya, pekerja dan orang ramai gagal membayar pinjaman perumahan, kereta, kad kredit dan lain-lain hutang.

Bank akan menderita akibat peratusan gagal bayar hutang meningkat dan memaksa sesebuah bank gulung tikar atau dibeli oleh kerajaan.

Bank riba juga menderita apabila TELAH MENJANJIKAN faedah kepada pelabur di simpanan tetap mereka dan akaun mereka. Ini mempercepatkan lagi runtuhnya bank ini.

Lantaran itu, ia akan menjadi semakin tenat dan memberi kesan kepada seluruh bank lain yang berurusan dengannya. Ketika itu ia terpaksa diambil alih oleh kerajaan melalui proses menyelamat.

Sekali lagi saya ulangi, apabila sesebuah bank komersial diambil alih oleh kerajaan iaitu secara suntikan tunai melalui pembelian saham bank terbabit, ini dinamakan dimiliknegarakan. Kebaikan dan kelemahannya sudah saya sebutkan minggu lalu.

Kadar faedah dikurang 0.5% dan pandangan Islam

Keputusan dibuat di negara terbabit untuk mengurangkan kadar faedah 0.5%.

Daripada sudut pandang ekonomi tulen, ia langkah yang ada kebaikannya dalam menyelesaikan masalah ekonomi semasa kini.

Hasil pengurangan ini, mereka mengharapkan peminjam mampu membayar hutang kepada bank dengan lebih efisyen dan akhirnya mampu memulihkan masalah hutang tertunggak serta kekurangan aliran tunai bank.

Institusi kewangan di UK mengurangkan kadar daripada 7% kepada 6.5%. Bank pusat China juga mengurangkan kadar riba 0.27% kepada 6.93%.

Demikian juga tindakan oleh US Federal Reserve, European Central Bank (ECB), Bank of England, dan The Central Banks of Canada, Sweden and Switzerland.

Semuanya membuat potongan riba secara kecemasan. Jepun tidak menurunkannya kerana kadar sedia ada dikatakan sudah rendah.

Pakar mengatakan, jika lebih banyak bank pusat menurunkan kadar faedah, ia lebih baik. Jika ia hanya dilakukan sesebuah bank pusat, sudah tentu ia akan mengganggu nilai matawang negara berkenaan.

Penurunan kadar faedah ini dijangka boleh memberi sedikit kelegaan kepada peminjam hutang rumah yang semakin tenat. Kesannya, bayaran bulanan hutang rumah berkurangan.

Ketua Analisa Ekonomi Antarabangsa di Capital berpendapat, pemotongan ini hanya mampu memberi kesan sementara untuk pemulihan keyakinan pelabur, namun ia belum mencukupi selagi seluruh sistem ekonomi tidak diubah.

Pandangan Islam berkenaan potongan kadar faedah

Jika ia bank Islam, proses memberi diskaun atau melepaskan sebahagian beban daripada orang berhutang yang tiada kemampuan adalah tepat dan sangat baik.

Ia bertepatan dengan firman Allah yang ertinya: “Dan sekiranya mereka (yang berhutang) itu berada di dalam kesukaran, kamu berilah mereka tangguh sehingga mereka senang, dan jika kamu bersedekah (beri diskaun termasuk dalam sedekah) itu adalah lebih baik.” (Al-Baqarah: 280)

Namun dalam kes kadar faedah diturunkan, tiada banyak pujian boleh kita beri kerana semuanya riba. Sebagaimana saya tidak boleh memuji jika harga rokok dan arak diturunkan, demikian juga saya tidak boleh memuji kadar riba diturunkan.

Kita hanya boleh memuji jika ia dibuang terus dan diganti sistem tanpa riba. Menurut pakar, walaupun kadar faedah bagi pinjaman perumahan diturunkan, bank masih tertekan.

Menurut hukum asalnya, dalam keadaan keruntuhan kredit, bank sangat ingin menaikkan kadar faedah dan bukan menurunkannya kerana setiap dollar, pound atau ringgit yang dipinjamkan kepada peminjam sepatutnya menghasilkan lebih banyak ‘faedah’ disebabkan wang tunai yang sukar diperoleh.

Apabila tiada jalan lain untuk memulihkan keyakinan pasaran terhadap industri bank, mereka terpaksa dalam derita setuju dengan potongan kadar faedah.

Namun demikian, mereka pasti mencuba untuk menghasilkan untung daripada sektor lain. Justeru, pakar ekonomi menjangkakan peminjam sektor Industri Kecil dan Sederhana dan semua pinjaman korporat akan ditekan dengan kadar faedah lebih tinggi.

Yang turun adalah pinjaman perumahan kepada orang ramai, manakala pinjaman syarikat bagi perniagaan belum tentu lagi.

Kesannya adalah kembali kepada asal, iaitu perniagaan sukar mendapat kelulusan dan akhirnya memberi kesan kepada perkembangan industri dan pembuangan pekerja akan berlaku.

Terbaru, di Wales, beribu-ribu pekerja sektor perbankan dan lain-lain mula dibuang kerja. Saya juga tidak dapat nafikan, pemotongan ini beri sedikit kesan buruk kepada perbankan Islam yang kebanyakannya menggunakan kadar tetap disebabkan aqad jual beli sama ada Bai Bithaman Ajil (BBA) atau Murabahah.

Kecuali jika mereka menggunakan produk BBA dengan kadar pelbagai melalui sistem ibra’ atau rebet. Produk pembiayaan perumahan yang menggunakan aqad Musharakah Mutanaqisah dan Ijarah Thumma Al-Bai tiada menghadapi masalah dalam isu potongan kadar faedah, mereka juga mampu menawarkan diskaun yang kompetitif buat pelanggannya. Semuanya halal. Insya-Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...