RSS

An-Nur: Kesan buruk jual hutang

oleh ZAHARUDDIN ABD RAHMAN (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com


> SAMBUNGAN MINGGU LALU

MINGGU lalu saya menghuraikan mengenai punca berlakunya krisis kewangan dunia sekarang yang bermula di Amerika Syarikat dam ia secara ringkasnya disebabkan sikap tamak kapitalis Barat yang ingin mengaut untung cara mudah dengan cara ‘debt trading’ atau menjual hutang.

Kaedah ini jelas tidak dibenarkan Islam dan minggu ini saya akan menghuraikan lebih lanjut pandangan Islam mengenainya yang jelas membawa kesan buruk kepada masyarakat.

1. Sistem Islam membabitkan ‘real market’ yang meniagakan aset dan bukan mengenakan interest atas pinjaman wang dan penjualan hutang kerana keadaan ini membuka ruang spekulasi berlebihan serta perkembangan industri riba yang akhirnya jatuh merudum.

2. Sistem Islam tidak membenarkan pembiayaan perumahan kepada mereka yang tiada potensi untuk membayar semula. Biarpun kelihatan tidak toleran, ia sebenarnya sangat toleran dan lebih baik kerana tidak menghimpit mereka yang tidak mampu dengan hutang baru yang tidak mampu dibayar.

3. Sistem Islam tidak menggalakkan hutang dan perkembangan industri hutang di luar kemampuan. Jualan hutang yang dibenarkan Islam hanya pada harga sama.

Namun, sebahagian besar ulama kewangan Islam di Malaysia membenarkan jualan hak hutang dengan harga lebih rendah daripada nilai hutang atas ijtihad yang dijual bukan wang tetapi hak maliah atau hak kewangan. Pandangan ini ditolak majoriti ulama antarabangsa.

4. Sistem Islam tidak membenarkan pelaburan dengan janji pulangan tetap kerana ia membebankan semua pihak, terutama pihak berjanji, walaupun pada awalnya kelihatan menguntungkan.

Sistem Islam hanya membenarkan sistem pelaburan Mudarabah dan Musharakah. Jika sistem ini diaplikasi, bencana kepada subprime tidak akan menjadi seteruknya. Sistem kewangan Islam juga ada sijil niaga seperti MBS, namun ia didasari akad Musharakah, Mudarabah, Ijarah dan lain-lain.

5. Apa yang berlaku hasil sistem ekonomi free market, iaitu membiarkan industri menentukan halatuju tanpa kawalan. Sistem ekonomi Islam menganjurkan kawalan pasaran oleh kerajaan dalam bentuk sewajarnya dan sistem hisbah turut wujud bagi memantau aktiviti pasaran.

Sebagai contoh, pembelian saham short selling haram di sisi Islam. Ia tidak dibenarkan di Malaysia, namun dibenarkan di Wall Street. Selepas kejatuhan teruk pada 19 September 2008, baru pembelian dan penjualan short selling terhadap 799 saham di Wall Street diharamkan.

Bail Out: Dari AS ke United Kingdom (UK)

Krisis kini merebak ke UK dan beberapa negara lain. Di UK, HBOS, sebuah institusi kewangan riba terbesar turut terlungkup. Mereka dibeli oleh Lloyds TSB.

Perdana Menteri, Gordon Brown, mengumumkan peruntukan £50 bilion untuk memilik negara sebahagian daripada kepentingan ekuiti dalam lapan bank utama negara itu, antaranya HBOS, Lloyds TSB, Standard Chartered, Abbey dan Nationwide Building Society.

Kerajaan UK juga, melalui Bank Of England dalam skim yang dinamakan ‘special liquidity scheme’, menawarkan pinjaman jangka pendek sebanyak £200 bilion khas untuk memberi pinjaman kepada mana-mana bank yang memerlukan kecairan (tunai) segera untuk menyelesaikan masalah Mortgage Backed Securities (MBS) bermasalah seperti Royal Bank of Scotland.

Kerajaan UK turut menyediakan jaminan untuk setiap pinjaman jangka pendek dan sederhana untuk tempoh tiga tahun. Semua tiga cara ini menjadikan jumlah bail out dari UK bernilai £ 500 bilion.! (rujuk www.zaharuddin.net).

Kebaikan dan keburukan ‘nationalization’ (dimiliknegarakan)

Apabila bank komersial dimiliknegarakan, ia menjadi sebahagian institusi kerajaan. Fahaman ‘sosialis’ amat suka proses ini, sedangkan Islam sebaliknya.

Islam juga tidak bersetuju dengan cara ekonomi kapitalis yang membuka peluang begitu luas sehingga menjadikan untung sebagai fokus dalam dunia perniagaan dan kehidupan.

Islam boleh dikatakan berada di pertengahan. Ada perkara yang perlu dimiliknegarakan dan ada yang tidak. Justeru, membiarkan semua bank komersial riba yang kerugian akibat kelemahan pengurusan dan ketamakan dibayar sejumlah besar wang rakyat melalui proses ‘nasionalisasi’ tidak diterima Islam.

Dalam Islam, nasionalisasi amat diperlukan dalam sektor perkhidmatan utama seperti pengurusan air, makanan asasi, eletrik dan kesihatan. Ia penting untuk kerajaan mengawal harga dan kebajikan awam.

Penswastaannya bakal membawa beban kepada rakyat akibat harganya yang pasti meningkat kerana sasaran syarikat swasta adalah untung.

Adakah bank anda selamat?

Cuba lihat saham bank anda di papan bursa saham. Jika sahamnya jatuh dan terus jatuh, itu bukti kesannya semakin hampir dengan anda.

Macam mana mengaitkan saham dengan masalah bank? Secara mudah, harga saham itu menunjukkan nilai sesebuah syarikat atau bank. Jika ia jatuh, bermakna nilai bank dan syarikat turut jatuh dan terkesan. Dividen kepada pelaburnya juga mengecut.

Nilai bank itu mengecil dan keyakinan pelabur, termasuk penyimpan, juga jatuh. Akhirnya, semakin ramai menjual saham dan mengeluarkan simpanan. Ini mengecilkan kemampuan bank ini untuk memperoleh tunai.

Tanpa wang sebegini bank tidak mampu memberi pinjaman kepada pemohonan, tanpa pemberian pinjam, bank akan gagal memperoleh untung.

Selain itu, kejatuhan nilai saham sesebuah syarikat juga menyebabkan ‘rating’ (penarafan) turut jatuh. Jika ini berlaku, setiap permohonan pinjaman kepada bank selepas ini akan dikenakan kadar faedah (interest) lebih tinggi.

Itulah sifir perbankan, lagi berwibawa status kewangan anda, lagi murah anda boleh dapat, namun apabila wibawa anda jatuh, kadar faedah tinggi bakal menjelma.

Ini kerana risiko ditanggung bank lebih besar. Apabila bank bermasalah, semua pendeposit akan bermasalah.

Contohnya, sebuah bank terbesar di Iceland yang ada banyak cawangan di UK jatuh lingkup.

Dalam masa sama, pihak kerajaan tempatan di UK dan polis menyimpan wang mereka dan melabur dalam bank itu dengan nilai dianggarkan lebih £900 juta.

Kini semua sektor terbabit bimbang kerana ada kemungkinan wang mereka akan hangus bersama keruntuhan bank itu.

Situasinya, banyak syarikat besar, unit saham amanah, sektor awam di Malaysia menyimpan wang dan melabur di bank besar di luar negara. Masalah bakal sampai kepada mereka dan akhirnya sampai kepada seluruh rakyat Malaysia.

> BERSAMBUNG MINGGU DEPAN

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...