Oleh YEO LI SHIANls.yeo@kosmo.com.my
Kesedaran tentang betapa pentingnya merawat depresi masih rendah di kalangan masyarakat Malaysia. Golongan wanita lebih mudah terdedah dengan kemurungan.
SUDAH lebih dua minggu seorang sahabat baik anda, Nadia, 25, menyepikan diri. Dia yang biasanya suka berjenaka, ceria dan bersikap positif tiba-tiba memperlihatkan perubahan sikap yang ketara.
Suka menyepikan diri dan sentiasa rasa berputus-asa serta tidak dihargai adalah antara simptom yang hadir. Malah, sesekali dia turut melahirkan keinginan untuk membunuh diri.
Keadaan yang berlanjutan lebih dua minggu ini nyata bukan kes remeh. Malah, lebih memburukkan keadaan, aspek sosial dan konsentrasi terhadap kerja harian turut terjejas.
Bagi orang biasa, senario Nadia mungkin dianggap sebagai sesuatu yang normal. Namun, tidak bagi pakar-pakar psikiatri. Membukukan segala masalah di hati sehingga menjurus kepada impak negatif adalah petanda anda sedang mengalami kemurungan.
Kemurungan atau depresi pada kebiasaannya tidak mempunyai punca tunggal. Sebaliknya, ia mungkin berpunca daripada pelbagai gabungan faktor.
"Kemurungan adalah sebahagian daripada masalah yang berlaku pada otak. Tetapi, apabila menyebut tentang kaitannya dengan otak, ramai yang menjadi takut," kata Dr. Yen Teck Hoe, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA).
Andainya anda telah melalui satu tempoh kemurungan yang sangat lama, anda sebenarnya tidak keseorangan. Anda merupakan sebahagian daripada sembilan peratus daripada rakyat Malaysia yang mengalami kemurungan tahap serius.
Malah, statistik kemurungan seperti yang didedahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan depresi sebagai penyakit keempat serius melumpuhkan jiwa seseorang.
Jika dibandingkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi, kadar kelaziman penyakit ini juga lebih ketara. Kadar kematian akibat kejadian bunuh diri di rantau Asia Pasifik seperti yang ditekankan oleh WHO turut menjangkaui penyakit tuberkulosis.
Kadar kelaziman kes kemurungan dalam sesebuah jangka hayat di mana-mana negara di dunia adalah antara lapan hingga 10 peratus. Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini.
Menurut Yen, masalah kemurungan yang berlanjutan lebih daripada dua minggu sehingga menjurus kepada keinginan membunuh diri adalah satu petanda serius.
"Sekiranya pesakit sudah menunjukkan simptom-simptom ketidakupayaan dari segi mental atau hasrat membunuh diri sehingga menjejaskan kehidupan harian, masalah depresi yang dihadapi berkemungkinan telah berkembang dari normal ke tahap membimbangkan," katanya yang memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang psikiatri klinikal.
Menjelaskan secara lanjut, hanya 70 hingga 80 peratus daripada pesakit yang mengalami kemurungan boleh diselamatkan dan kembali menjalani kehidupan secara normal.
Satu laporan mendedahkan, di Amerika Syarikat (AS) daripada sejumlah 100 pesakit yang mengalami kemurungan, hanya 25 daripadanya memperoleh rawatan sewajarnya.
Senario ini berkemungkinan berlaku akibat pemahaman serta sindrom depresi yang dipandang remeh oleh kebanyakan orang dan doktor-doktor penjagaan primer.
Pada majlis pelancaran kempen Dialogues: Support 'N' Remission Impact (SNRI) Programme di ibu negara baru-baru ini, tumpuan dialihkan kepada keengganan para pesakit untuk tampil mendapatkan rawatan sewajarnya.
Lebih teruk, antara punca terjadinya keengganan ini adalah disebabkan oleh tiadanya sokongan daripada orang tersayang.
Bekas Presiden MPA, Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata, tekanan kronik yang berterusan berkemungkinan juga menjadi faktor penyumbangnya.
"Lebih teruknya, sesetengah pesakit yang pernah saya temui mengalami masalah kurang tidur yang cukup serius sehingga terpaksa bergantung kepada banyak pil. Apabila mereka akhirnya berjumpa dengan pakar psikiatri, mereka telah pun terlalu ketagih dengan ubatan," jelasnya.
Kemurungan lebih kerap memilih wanita sebagai 'mangsanya' kerana faktor psikologikalnya, aspek emosi kaum hawa adalah lebih mudah terjejas.
Tambahnya, pemahaman terhadap masalah depresi tidak semestinya terlalu kompleks. Sebaliknya, pihak majikan, rakan mahupun ahli keluarga perlu belajar memberi galakan dan membuka minda serta hati pesakit untuk meluahkan masalah.
"Dialog yang berterusan boleh memberi impak signifikan kepada proses pemulihan seseorang pesakit. Sokongan emosi dan moral daripada orang di sekeliling misalnya dapat meringankan bebanan penyakit dan kesan-kesan sampingan yang mungkin dialami oleh pesakit," katanya.
Justeru, program berdialog yang dilancarkan oleh Wyeth (Malaysia) Sdn. Bhd. dan MPA itu disasarkan untuk meningkatkan tahap kesedaran khasnya di kalangan pesakit untuk menangani kemurungan menerusi perkongsian masalah.
Memandangkan kemurungan juga merupakan penyakit keempat serius di Malaysia, Dr. Hussain bagaimanapun mengingatkan tiada yang perlu dirisaukan.
"Rawatan sewajarnya boleh membantu sekurang-kurangnya 85 peratus pesakit yang mengalami kemurungan. Sama ada dengan menghadiri sesi-sesi kaunseling secara kerap mahupun pengambilan ubat antikemurungan," katanya.
Sementara itu, Yen menambah, dalam rawatan kemurungan, tiada cara tertentu yang akan menyelesaikan masalah. Sebaiknya gabungan ubatan antikemurungan dan sesi kaunseling yang berterusan adalah cara untuk membebaskan pesakit daripada cengkaman depresi.
Seiring dengan pelaksanaan program ini, satu siri risalah dan poster-poster pendidikan telah disediakan dan kini boleh didapati di pusat-pusat perubatan di seluruh negara.
KEMURUNGAN menjejaskan kehidupan harian, kerjaya dan mengganggu emosi.
Selain itu, sebuah buku panduan pesakit turut diperkenalkan khasnya untuk pesakit baru atau yang sedang mengambil ubat anti-kemurungan. Ia juga menawarkan maklumat tentang kesan-kesan sampingan yang menjadi antara punca utama sesi rawatan yang tidak konsisten.
Biarpun begitu, kempen Dialogues: SNRI Programme ini hanyalah sekadar satu sumber tambahan bagi mendorong pesakit meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Ia bagaimanapun tidak bertujuan menggantikan peranan doktor atau pakar psikiatri dalam aspek ketepatan terapi atau dos ubatan yang diambil.
Masalah otak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment