RSS

Bulan Rejab Bulan Allah!

Sesungguhnya bulan Rejab mengandungi khazanah berharga, kaya dengan motivasi demi ke arah pengukuhan akhlak dan peribadi Muslim. Bulan ini telah diiktiraf oleh Allah sebagai salah satu antara empat bulan suci yang harus dihormati, dilarang melakukan peperangan, sebaliknya harus kita membanyakkan tafakkur merenung dan memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan keagungan Ilahi.

Firman Allah maksudnya : “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan di dalam Kitab Allah, pada hari Allah menciptakan langit dan bumi, dan antaranya ada empat bulan suci (iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram, Rajab). Demikian itu agama yang lurus; oleh itu janganlah kamu menganiaya dirimu sendiri pada bulan-bulan itu..” (Surah al-Taubah: 34)

Rasulullah SAW pula bersabda antara lain maksudnya: “Rejab itu bulan Allah, Sya’aban bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku”.

Nabi SAW menyifatkan Rejab sebagai bulan Allah, kerana Allah telah memilih bulan ini sebagai bulan berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, Allah menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya pada malam itu, dan Allah juga menjemput Nabi SAW menghadap ke hadhratNya untuk disyariatkan solat fardhu yang lima.

Allah berfirman maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Nabi Muhammad SAW – jasad dan rohnya) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestine), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Surah al-Isra’: 1)

Dalam perjalanan di antara dua kota suci itu (Makkah dan BaitulMaqdis), Nabi Muhammad SAW telah singgah di beberapa tempat bersejarah iaitu Taiyibah (Madinah), Madyan (tempat pelarian Nabi Musa AS ketika dikejar oleh Fir’aun), Tursina (tempat Nabi Musa AS terima wahyu Allah), Baitul Laham (tempat kelahiran Nabi Isa), kemudian barulah sampai ke Baitul Maqdis.

Nabi SAW diperlihatkan gambaran orang-orang yang mendapat nikmat syurga dan orang-orang yang diseksa di neraka, sebagai iktibar agar kita melakukan taat dan menjauhi maksiat. Kesemuanya gambaran itu ada sebanyak 17 gambaran. Hal ini diceritakan menerusi hadis.

Kemudian dari Masjidil Aqsa, Nabi SAW dibawa mengembara ke angkasa lepas. Kisah ini boleh kita rujuk menerusi Surah al-Najmi ayat 1-8, antara lain menceritakan betapa Rasulullah SAW telah melihat Tuhannya pada malam Mi’raj di langit yang tertinggi dengan ru’payah basoriah (mata kepala). Demikian mengikut Mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah dengan dalil daripada al-Sunnah al-Nabawitah, tersebut dalam Tafsir Sofwatut Tafasir karangan Muhammad Ali as-Sobuni.

Nabi SAW juga melihat Sidratul Muntaha dan syurga Jannatul Ma’wa, yang menjadi tempat kediaman bagi taman perkebunan bagi para Malaikat dan juga roh orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang bertakwa.

Dilihat oleh Nabi SAW beberapa macam perkara ajaib semasa Sidratul Muntaha ditutupi suatu selubung dari makhluk-makhluk yang menunjukkan kebesaran Allah SWT – kesemuanya kelihatan sangat indah berseri-seri.
Kata para Mufassirin: Nabi SAW melihat pohon itu telah ditutupi oleh suasana nur Allah ‘Azza wa Jalla, sehingga tidak seorang pun sanggup melihatnya, dan dia ditutupi oleh para Malaikat serupa burung-burung yang beribadat kepada Allah, dikerumuni sekelilingnya oleh orang-orang yang bertasbih dan berziarah, sebagaimana Ka’abah yang diziarahi oleh oran ramai.

Pemandangan Nabi SAW tidak menyimpang dari tempat dia hadir itu dan tidak menoleh ke kanan dan ke kiri dan tidak pula melampaui batasan dari yang dapat dilihatnya sebagai tanda beradab.

Subhanallah! Mari kita bersyukur kepada Allah kerana telah dipilih menjadi insan beriman kepadaNya dan beriman kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...