RSS

Mendidik Anak Soleh - Solehah

Ibnu Khaldun berpendapat: Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mangikut garis-garis yang ditentukan oleh Allah S.W.T dan Perikemanusiaan.
Imam Al-Ghazali pernah berkata: Bahagia - tiap-tiap sesuatu ialah apabila kita merasai nikmat kesenangan dan kelazatan.

Kedua-dua pendapat ini mempunyai maksud yang sama iaitu setiap manusia mestilah hidup di dalam kesempurnaan dan kebahagiaan di dunia iaitu mempunyai segala keperluan, harta dan kesihatan. Manusia juga mesti hidup dalam kesempurnaan dan kebahagiaan di akhirat iaitu mempunyai keimanan dan ketakwaan terhadap segala perintah Allah dan Rasulnya.

Al-Quran banyak membicarakan tentang cara membentuk dan mengatur keluarga muslim ke arah mencapai kebahagiaan, antaranya persoalan perkahwinan, penceraian, kewajipan nafkah, tanggungjawab anak dan ibubapa, faraid dan sebagainya. Ini membuktikan peri pentingnya kebahagiaan hidup seorang kerana kebahagiaan hidup peribadi adalah menjadi tunjang kepada kebahagiaan hidup berkeluarga. Seterusnya kebahagiaan hidup berkeluarga adalah menjadi pokok bagi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup masyarakat dan negara.
Oleh kerana masyarakat itu dibina daripada sesebuah keluarga, sudah pasti nilai-nilai yang baik dan murni tidak kelihatan selagi nilai-nilai itu belum diamalkan oleh setiap orang dalam keluarga berkenaan. Islam telah menentukan hak-hak dan kewajipan seseorang terhadap dirinya juga masyarakat. Kewajipan terhadap diri sendiri ialah bertanggungjawab mengawal dan mendidik dirinya, akalnya, harta benda, nyawa dan kehormatannya(maruah). Setelah itu ia dijadikan asas keutuhan rumahtangga yang terletak kepada perhubungan baik suami -
isteri. Perhubungan baik itu mestilah berdasarkan atas dasar muhibbah kasih sayang dan belas kasihan diantara keduanya.

Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21:
Maksudnya:
Setengah daripada tanda kekuasaan allah bahawa ia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu isteri-isteri supaya kamu bermesra dengannya dan dijadikan pula perhubungan diantara kamu atas dasar kasih sayang dan belas kasihan.
Islam menghendaki hubungan suami isteri ialah perhubungan yang erat, perhubungan yang melengkapi rohani dan jasmani yang teguh. Oleh itu, segala jalan yang boleh merenggangkan ikatan yang suci bagi kedua suami-isteri itu hendaklah dicegah dan dihindarkan dengan segala daya usaha.
Rasulullah S.A.W bersabda: Maksudnya: Sesungguhnya perkara halal yang tidak digemari allah ialah penceraian.

Setelah ikatan diperkukuhkan dan jalan perselisihan dicegah, Islam mengadakan garis panduan mewajibkan kedua ibu bapa memelihara anak-anak mereka dengan baik dan memberikan didikan yang sempurna. sebaik-baik didikan ialah apa yang digambarkan oleh al-Quran dalam surah Lukman, di mana Allah S.W.T memuji dan menceritakan didikan yang diberi oleh Lukman kepada anaknya dengan

Firmannya: ayat 13 yang bermaksud ”Dan ingatlah ketika Lukman menasihati anaknya dengan berkata: wahai anakku, janganlah kamu syirik kepada Allah kerana syirik itu satu kezaliman yang besar”

Seterusnya banyak lagi ajaran dan didikan yang disampaikan oleh Lukman yang meliputi bidang aqidah, ibadat, kemasyarakatan dan sebagainya, Antaranya:

1. Mendirikan ibadat solat.
2. menyeru manusia berbuat kebajikan dan melarang membuat kemungkaran.
3. Bersabar ketika berhadapan dengan ujian hidup.
4. Mengimani setiap yang baik pasti ada balasannya, begitu juga sebaliknya.
5. Tidak berlaku sombong terhadap orang lain.
6. Sentiasa merendah diri.
7. Hidup secara sederhana.
8. jangan meninggikan suara kepada orang lain.

Di sini dapatlah kita fahami, bahawa matlamat pendidikan Islam adalah untuk menanam sifat-sifat mulia ke dalam jiwa anak-anak supaya mereka benar-benar dapat memperhambakan diri(beribadat) kepada Allah S.W.T dengan penuh takwa tanps mengira tempat dan masa.

Oleh itu, marilah kita mengorak langkah kembali mempelajari dan menghayati sepenuhnya ajaran dan nilai-nilai Islam demi kebahagiaan keluarga dan generasi kita masa akan datang.

Islam telah mengambil perhatian yang sangat istimewa terhadap rumahtangga, kebajikan dan keselamatannya, kerana rumahtangga yang aman dan sihat, teratur dan berdisiplin menjadi anak kunci atau dengan kata lain menjadi batu asas bagi kemajuan dan pembangunan sesuatu bangsa dan negara.

Sebaliknya, rumahtangga yang kucar-kacir dan porak-peranda akan mengakibatkan malapetaka dan keruntuhan masyarakat.Maksudnya: ”dan orang-orang yang berdoa dengan berkata: wahai tuhan kami, kurniakan kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penenang hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa”.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...