RSS

Agama dan Politik Dipisah atau Diapit?

www.iluvislam.com
*Yussamir Yusof
editor : IskethaykaL

~~~~~~ @@@ ~~~~~~


“Agama dan politik tidak boleh dibawa bersama, agama adalah agama dan politik adalah politik, dua-dua tidak sama. Orang agama hanya duduk di masjid, biar orang yang macam kami ini sahaja yang menerajui negara. Kamu semua mana tahu apa kami buat.
Dalam al-Quran tiada cerita pasal politik.”


Mungkin ini antara kata-kata yang pernah kita dengar atau pernah kita terdengar daripada tokoh-tokoh politik Malaysia. Keluhan demi keluhan dapat saya dengari di sekeliling saya apabila suara-suara ini berkumandang dalam pelbagai medium. Saya tidak tahu mana silapnya kita semua dalam memahami konsep politik dan agama.

Adakah kita memang tidak pernah diajar mengenai agama sejak dari bangku sekolah?
Tidak mungkin.

Adakah kita terlalu sensitif atau proaktif apabila membincangkan isu ini secara umum? Sehinggakan pelbagai peraturan dan sekatan dilakukan bagi menyekat pencambahan ilmu dalam bidang politik di kalangan para pelajar khususnya mahasiswa.

Jika begitu apa yang boleh dibincangkan? Setelah pintu untuk memahami secara ilmiah konsep politik ditutup rapat-rapat.

Selain itu, dengan mengenakan syarat bahawa perbincangan tentang politik boleh dibahaskan, tetapi hanya berputar pada skop yang kecil dan yang ‘baik-baik’ saja, maka adakah itu dipanggil wacana ilmiah?

Sedangkan kita tahu dunia politik ada pelbagai ragam dan recam.

Berbalik kepada isu di atas iaitu adakah agama dan politik ini dibataskan, saya mahu mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak tentang perkara ini.

Adakah agama tidak ada tempat dalam politik dan politik itu hanya untuk orang-orang yang bukan beragama?

Saya tidak pasti adakah persoalan ini sesuai untuk ditanya ataupun tidak tetapi pada hemat saya, pemikiran atau ideologi untuk memisahkan politik dengan agama adalah sesuatu yang pelik dan jumud.

Hanya mereka yang tidak beragama sahaja memisahkan dua pentas ini dari kehidupan. Sejarah membuktikan bahawa pemisahan ini adalah inisiatif daripada golongan anti-gereja. Kekecewaan mereka terhadap penguasa gereja yang hanya bertumpu dan berkisar kepada urusan keagamaan sehinggakan melupakan kemajuan dari segi politik dan pembangunan membawa kepada pemberontakan. Setelah beratus tahun peristiwa itu berlaku, ia berulang kembali dalam abad-abad yang moden ini.

Pemisahan antara politk dan agama amat ketara. Ulama’ yang muktabar pandangan-pandangan mereka terhadap politik tidak pernah diambil peduli. Tidak seperti semasa zaman kegemilangan Islam, Ulama’ dan Umara’ memainkan peranan yang besar dalam pembentukan negara yang aman dan maju.

Kaedah siasah (politik) Islam mula dianggap tidak sesuai untuk zaman moden yang mencabar ini. Mereka menoleh ke belakang mencari kaedah-kaedah lama yang ditinggalkan Machiveli, Marxism dan lain-lain bagi perjalanan politik mereka. Negara-negara Islam yang mengikut corak politik kotor dan ‘tidak peduli’ tanpa berlandaskan tuntutan agama sudah mula kelihatan. Parti-parti yang di dalamnya terdapat Muslim, bercakaran sesama sendiri kerana perbezaan yang kecil. Persamaan dalam sudut akidah mula diketepikan dan nasihat-nasihat yang baik dari pihak lawan ditinggalkan kerana takut. Takut dengan bayang-bayang sendiri. Jika kita boleh duduk semeja dan berbincang semeja dengan orang yang bukan seakidah, tetapi kenapa kita tidak boleh duduk semeja untuk membincangkan kebaikan bersama di kalangan seakidah? Itulah yang terjadi apabila agama dan politik dipisahkan sejauh selat Tebrau. Mana mungkin negara diberkati Allah.

Zikir dan fikirlah, demi anak bangsa kita pada masa hadapan.



“Jika amanat disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya”. Ada yang bertanya “bagaimana mensia-siakannya? Baginda menjawab, “Jika urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya”.(Bukhari)


* Yussamir Yusof merupakan penulis jemputan iluvislam.com dan beliau giat menulis menerusi blognya di www.yussamir.com. Artikel yang sama boleh dirujuk di sini



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...