RSS

Pemimpin Sepanjang Zaman

pandanganpemimpin.JPG

Pandangan Pemimpin Terhadap Mereka Yang Dipimpinnya

“Huh, pemimpin apa macam itu. Menghabiskan masa sahaja”�, rungut Zain (bukan nama sebenar).

“�Anta jangan cakap begitu, anta tidak tahu kehidupan beliau bagaimana”�, saya cuba menenangkan keadaan.

“�Nak tahu apanya lagi? Dia tidak tahu macam mana susahnya pelajar macam kami ini. Yuran tak lepas, makan tak tentu. Dia sedap sahaja bermewah. Naik kereta sewa ke sana sini”�, kata-kata Zain semakin menghangatkan mesyuarat kami.

Zain ketika itu adalah pelajar Tahun 1. Baru sahaja sampai. Orangnya bersemangat tinggi. Semangat yang sering mencederakan sesiapa yang tidak dipersetujuinya.

Entah kenapa malam itu, beliau terlalu marahkan sahabat saya Abu Ammar. Abu Ammar adalah bekas ahli rumah saya, sebelum beliau berumahtangga. Kini Abu Ammar dipertanggungjawabkan dengan amanah memimpin persatuan pelajar.

Zain tidak tahu apa yang dia tidak nampak. Zain tidak sedar betapa Abu Ammar menderita setiap hari mencari wang untuk menampung CT Scan anaknya yang cedera di tempurung kepala akibat kemalangan jalan raya. Sekali scan, mahu USD100 terbang.

Zain hanya melihat dari luar. Dia tidak tahu tong beras Abu Ammar selalu kosong. Kami yang rapat dengan Abu Ammar kadang-kadang mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengisi tong beras yang kosong itu, demi persahabatan.

Apa yang Zain tahu, Abu Ammar bermewah-mewah sebab sering ke sana sini dengan kereta sewa. Walhal tugas Abu Ammar sebagai pemimpin persatuan pelajar, memerlukan beliau untuk sering bermusafir menghadiri mesyuarat yang penting.

“�Anta jaga sikit mulut tu!”�, saya cuba berkeras sedikit.

Abu Ammar hanya mendiamkan diri mendengar celoteh Zain yang tidak habis-habis merungut.

“�Inilah musang ekor beruang!”�, kata Zain sambil menunding ke arah Abu Ammar yang semakin merah mukanya.

“�Astaghfirullah Ustaz Zain. Firaun yang mengaku tuhan itu pun, Allah perintahkan Nabi Musa agar bercakap baik dengannya. Abu Ammar ni lebih jahat dari Firaunkah? Dan anta lebih baik dari Musa? Ittaqillah ya akhi!”�, saya sudah tidak boleh bersabar lalu menutup majlis dan menyuruh semua bersurai.

Selepas mesyuarat itu, seorang sahabat Zain telah memberi amaran kepada saya.

“�Anta jangan main-main Sheikh. Zain tu jenis kejar Cina dengan parang masa kat kampung dia”�, kata beliau kepada saya.

“�Tolong sikit. Itu samseng kampung. Nak samseng macam tu, pergi balik kampung. Ini Jordan, tempat orang mengaji. Buat cara orang mengaji!”�, saya cuba bertegas.

Peristiwa malam itu sudah lama berlalu. Zain sudah jadi penceramah terkenal. Abu Ammar sudah tiada. Sudah kembali ke rahmatullah dalam sebuah kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu.

baitkahfi.jpg

Al-Marhum Abu Ammar, berdiri, dua dari kanan

Saya kehilangan seorang sahabat yang sangat istimewa seperti Abu Ammar. Beliau meninggal dunia semasa saya jauh di perantauan. Istimewa Abu Ammar, masih hangat dalam ingatan. Abu Ammar adalah satu-satunya sahabat yang sudi menziarahi ibu saya ketika saya jauh di Ireland. Jika ada ceramah di Ipoh, beliau sering singgah di rumah saya bersama isteri dan anak-anak, menumpang mandi dan bertanya khabar. Teman sejati, adalah teman yang berlaku baik kepada kita, di belakang kita tanpa kita ketahui.

Ibu saya sendiri tertekan bagai kematian anak sendiri, apabila berita Abu Ammar terbunuh dalam kemalangan jalan raya saya maklumkan kepadanya.

Abu Ammar adalah seorang kawan yang menghiburkan. Tidak pernah gundah menanggung pengajian diri, isteri, adik dan anak-anaknya ketika di perantauan.

Ada sahaja yang Abu Ammar lakukan untuk menambah pendapatan. Menjual mee, menjual rempah ratus dari Malaysia, mengambil upah menjahit dan macam-macam lagi. Abu Ammar tetap senyum dan saya rindukan wajahnya yang manis itu.

Abu Ammar sentiasa berjubah. Itu identiti dia. Namun makin lama, jubahnya makin banyak bertampung kain. Namun Abu Ammar tetap kaya dengan senyuman.

Lebih istimewa, Abu Ammar memimpin dengan sabar. Beliau jarang melenting. Cakap-cakap buruk orang bawahannya ditelan begitu sahaja. Yang penting, Abu Ammar tahu apa yang sedang dilakukannya.

Itu Abu Ammar di sisi insan yang mengenalinya. Mengenali beliau sebagai sahabat, bukan sasaran kritik gelojoh orang bawahan.

Saya sendiri jadi bosan, mengapa orang muda suka bergaduh. Apabila bermesyuarat, yang banyak hanyalah rungutan, rasa tidak puas hati, kritikan, tetapi jarang benar yang menyumbang kepada penyelesaian.

SAYA DAN KEPIMPINAN

Saya sendiri, berkenalan dengan kepimpinan, seawal darjah 1. Saya dilantik menjadi Ketua Darjah, dan kadang-kadang diberi rotan oleh guru untuk mengawal kelas agar tidak bising. Saya pun tidak ingat, bagaimana tugas itu saya laksanakan.

Ia diteruskan di sepanjang pembelajaran saya di sekolah rendah, sehingga akhirnya menjadi Ketua Murid semasa di darjah 6. Tugasnya pelbagai, namun ia mempercepatkan proses kematangan diri. Saya rasa, agama mematangkan manusia. Kerana selalu berfikir tentang agama, saya rasa proses penuaan saya menjadi cepat dari yang biasa.

Entah apa yang ada di muka saya, tradisi menjadi Ketua Kelas bersambung lagi di sepanjang pengajian saya di sekolah menengah. Kemuncaknya, ialah apabila saya dilantik menjadi Pengerusi Badan Dakwah dan Rohani semasa di Tingkatan 4, sedangkan jawatan itu lazimnya dipegang oleh pelajar Tingkatan 6 Rendah, di sepanjang sejarah sekolah saya.

Ketika di sekolah menengah, antara sumber kepimpinan saya ialah Tuan Pengetua saya sendiri, Tuan Haji Zamri Abdul Karim, yang berperanan lebih dari sekadar seorang guru, namun sebagai pendidik dan murabbi yang membentuk peribadi saya.

sis001.jpg

Tuan Haji Zamri Abdul Karim, berketayap putih, adalah guru dan murabbi saya

NASIHAT KEPIMPINAN

Antara nasihatnya yang berharga tentang kepimpinan, disampaikan kepada saya pada salah satu siri ‘kaunseling’ beliau kepada saya.

“Pemimpin adalah seperti orang di atas bukit. Orang yang dipimpin adalah manusia ramai di kaki bukit yang mendongak ke atas untuk hanya melihat kamu, pada buruk dan baiknya kamu”, kata beliau kepada saya.

Menjadi pemimpin, dan menjadi golongan yang dipimpin tidak sama. Golongan yang dipimpin seperti manusia di kaki bukit. Mendongak ke atas dan melihat pemimpinnya di puncak bukit. Serba-serbi tentang pemimpin itu diperhatikannya. Ada pujian, tetapi yang sering adalah kritikan dan celaan.

Sedangkan pemimpin yang berdiri di puncak bukit, beliau melihat ke bawah dengan pandangan yang luas. Kritikan dari orang yang mengkritiknya, hanyalah salah satu daripada keseluruhan pandangan luasnya terhadap realiti golongan yang dipimpin.

Inilah cabaran menjadi pemimpin, di sepanjang pengalaman saya mengamati dan memikulnya.

Kefahaman saya tentang apa yang dinamakan sebagai kepimpinan, telah saya abadikan dalam sebuah nasyid yang saya cipta, khusus untuk meniup semangat pemimpin, di segenap lapisan agar berjiwa luas. Lapangkan dada terhadap segala celaan dan kritikan orang bawahan, jika kalian yakin pada kebenaran yang diperjuangkan.

Lagu ini adalah di antara lagu istimewa saya. Namun oleh kerana telah banyak nasyid yang saya cipta dan nyanyikan sendiri di dalam album Gemilang 1995, maka nasyid “Pemimpin Sepanjang Zaman”� ini telah diserahkan untuk dinyanyikan oleh Ustaz Erfino Johari.

Saya dedikasikan lagu ini kepada sahabat dan pemimpin saya, al-Marhum Abu Ammar, pemimpin-pemimpin pelajar di semua lapisan dan sekelian mereka yang menanggung kepimpinan, di mana jua …

[coolplayer width="380" height="80" autoplay="0" loop="0" charset="utf-8" download="1" mediatype=""]
Pemimpin Sepanjang Zaman
[/coolplayer]

PEMIMPIN SEPANJANG ZAMAN

Tika kau di puncak pergunungan
Luas saujana mata memandang
Bumi luas terbentang
Jauh di sana

Kelihatanlah umat manusia
Seribu ragam juga bicara
Berat mata memandang
Resah jiwa mengenang

Adat pemimpin sepanjang zaman
Di hatinya ada kebimbangan
Beratnya tanggungan yang menanti di depan
Akan terhisab di tangan Tuhan

Bagi manusia yang di bawahnya
Mata memandang pada yang satu
Tersusunlah kekurangan
Terkumpul kelemahan

Segala ujian dan cabaran
Dan tuduhan yang dilontarkan
Semua itu permainan
Gurauan perjuangan

Hari ini kita satukan hati
Dendangkan irama perpaduan
Susunkan barisan satukan keyakinan
Terus ke depan tempuh rintangan

Jika mereka itu seribu
Kita bersama Tuhan yang Satu
Maka pohonlah bantuan
Nusrah pasti diturunkan

Ahzab yang telah ditewaskan
Pengalaman sepanjang zaman
Bulatkan keyakinan
Kemenangan di depan

Sekali disusun perjalanan
Tiada undur terus ke hadapan
Ceraikanlah jasad, nyawa dan kehidupan
Hidup berjaya mati mulia

LAGU: Hasrizal Abdul Jamil
LIRIK: Hasrizal Abdul Jamil
NYANYIAN: Erfino Johari
PERSEMBAHAN: Usrah al-Firdaus, Jordan
ALBUM: Gemilang
TAHUN: 1995

__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2008)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

[ 17 comments… read them below or add one ]
  1. 1
    safuraaramli April 13th, 2007 at 6:28 am

    assalamualaikum.
    sejuk mata melihat gambar sahabat ustaz.
    moga dia ditempatkan di kedudukan yang istimewa.
    amin..
    saya juga pernah seperti zain; mengkritik, mengejek, memandang sinis pemimpin x habis2.
    namun, bila saya pula yang menjadi pemimpin, beratnya tugas hanya Allah yang tahu.
    i am only a human being who is not able to entertain everyone.
    itu baru peringkat sekolah dah terasa berat, peringkat lain belum tahu lagi.
    harapnya kelak, saya dapat membaiki diri dan menjadi seorang pemimpin serta seorang yang dipimpin yang baik.
    amin..
    p/s:
    suka analogi ustaz tentang nabi musa dan bukit..

    [Reply]

  2. 2
    sarahss April 13th, 2007 at 6:49 am

    assalamualaikum ustaz…
    Bila ustaz bercerita tentang kepimpinan:dipimpin dan memimpin, saya juga sependapat dengan ustaz. Memang lumrah hidup, kadang-kadang apabila kita melihat orang di atas (pemimpin kita), kita hanya akan memikirkan dan mengharapkan yang baik-baik sahaja, serba-serbi sempurna, tiada cacat-cela. Pantang ada sedikit kesilapan, kita akan cepat-cepat menuding jari, menghukum si dia yang hanyalah insan biasa seperti kita. Mulalah kita akan bercakap yang bukan-bukan…”kalau dia boleh buat, kenapa kita tak boleh?Layakkah dia memimpin kita kalau dia sendiri buat salah? Lagi bagus kalau aku yang ganti dia..”. Astaghfirullah.
    Tapi bila kita di tempat insan tersebut, memang kita akan merasakan betapa bukan senang menjadi ketua, hatta sekecil-kecil ketua seperti ketua kumpulan sekalipun. Tugas seorang ketua, amanah yang dipikul, ibarat maruah kita sendiri..andai tak dijaga, umpama membiarkan keyakinan org lain terhadap kita terhakis sedikit demi sedikit..dan di akhirat kelak, Allah jua akan mempersoal amanah itu…dijagakah dengan baik?
    Tepuk dada, tanya iman..jaga amanah, tak hilang keyakinan..

    [Reply]

  3. 3
    wardah18 April 13th, 2007 at 8:48 am

    isk..sebak saya membaca nukilan ustaz hari ini..saya juga seperti ustaz dan sahabat2 lain..sentiasa dalam kelompok pemegang kepemimpinan..entah dapat dijaga dengan baik entah tidak..astaghfirullah…

    kepiluan mencengkam hati
    tak sanggup mengenangkan
    amanah yang tak terlaksanakan
    hasrat tak kesampaian

    bumi waqafan kini kehilangan
    ketandusan jiwa yang memahami
    perjalanan bagai tak berkemudi
    terkapai lemas di sudut jahiliah

    tiada daya lagi
    mengulangi kisah silam
    suasana makin suram
    generasi kian lesu
    keindahan kini hilang
    kerna kegersangan iman
    hati bagaikan terkunci
    dari hidayahMu Rabbi
    hanyut dalam kelalaian
    alam remaja yang mengasyikkan….

    ini lirik nasyid sewaktu saya di sekolah dulu..tersentuh dgn rangkap pertama..alfatihah buat saudara Abu Ammar

    [Reply]

  4. 4
    ro ya alip dhod April 13th, 2007 at 8:56 am

    sheikh, ana rindukan beberapa orang didalam gambar diatas. Apa khabar mereka? Ramai yang sudah menjadi pemimpin rasanya. Ust Zambri, kuliah2 Matla’ul Badrain beliau masih segar di ingatan. Yang paling tak lupa, Cikgu Jakpor. Moga semua berada dalam rahmat Allah.

    [Reply]

  5. 5
    -maieymuhamad- April 13th, 2007 at 10:30 am

    salam..ya Allah..amat-amat terkesan tulisan ustaz. harapnya ana dapat merubah diri sendiri menuju ke arah yang lebih baik.. trm kasih ya ustaz..

    [Reply]

  6. 6
    Abu Muhammad AlFateh April 13th, 2007 at 12:29 pm

    Alfaatihah , buat alMarhum Abu Ammar ( Abu Afaf ). Jasa & Pengorbananmu tetap dikenang… Sebak, mengigatkan kenangan bersamamu…SAHABAT SEJATI. Semoga Allah Tempatkan Bersama Para Solihin…Amin

    [Reply]

  7. 7
    aye April 13th, 2007 at 3:32 pm

    Syukran Ustaz….
    Krisis kepimpinan dan kepemimpinan pernah ‘melanda’ ana… hmmm…kenangan telah ‘dmamah’ masa…

    [Reply]

  8. 8
    dhuat April 13th, 2007 at 4:48 pm

    Assalamualaikum ya Ustaz

    sekadar berkongsi…ana ni dah katori remaja tua… :)
    Remaja muda hari ini yang ana perhatikan, mereka semakin KERAS!

    Tiada berlapang dada, mereka kira mereka sahaja betul
    orang lain semuanya salah.

    Sewenangnya mengkritik dan bukannya mengamalkan sikap seperti
    “Apa yang kami boleh bantu wahai Sang Ketua, agar perkara ini boleh kita perbaiki,harungi dan atasi bersama?”
    Yang mungkin terbit dari ucapan mereka adalah ungkapan seperti
    “Apalah blabla bla itu tak betul, ini tak betul bla bla….”

    Entahlah…

    Agaknya semakin kurang solat/menangis malam serta berzikir yang anak muda ini amalkan dan itu memungkinkan hati-hati mereka menjadi KERAS!

    p/s:Aku pun keras juga dahulu tetapi tidaklah sampai celupar sehingga mengguris sang ketua.

    [Reply]

  9. 9
    Abu MZ April 13th, 2007 at 5:00 pm

    Umat Islam adalah pengikut (barangkali juga pak turut) yang setia. Kini kesedaran beragama di kalangan anak-anak muda kita juga semakin bercambah. Lihat saja madrasah2 & sekolah2 Islam swasta sebagai bukti. Tapi di manakah akhirnya mereka?. Mereka terpaksa bergelumang & bersaing dengan berbagai mcm jurus pemikiran & anasir sosial.

    Walau apa jua balada atau krisis kepimpinan yg pernah cuba kita lagukan, dunia Islam (khususnya Msia) tetap berkehendakan seorg pemimpin…, seorang IMAM. Jika tidak, ’solat jemaah’ kita tak dapat ditegakkan…sekalipun kita punyai ramai Pak Bilal yg lunas suara mengajak ummah bersolat & menuju kejayaan.

    Kita hanya ada satu ABU SAIF. Kalau kita hanya bergantung pada yang satu ini, yang satu ini juga akan rebah. Kita harapkan untuk dapat melahirkan lebih ramai lagi ‘ABU SAIF’ di luar sana. Mereka menunggu untuk dipimpin dan menjadi pemimpin. Mantan PM, TDM berjaya lahirkan 10 ahli koperat terbilang di zamannya, spt yang diimpikan (walaupun akhirnya tumbang kesemuanya). Kenapa kita impikan 10 ‘ABU SAIF’. Mungkin akan tiba suatu tika nanti ambil peranan sebagai murabbi pula. Masa untuk berubah….Insyallah.

    Al-Fatihah buat al-marhum Abu Ammar & al-marhum Tuan Haji Zamri Abdul Karim.

    [Reply]

  10. 10
    ashabul_kahfi April 13th, 2007 at 5:21 pm

    SAHABAT

    Sahabat,
    Bila bumi dilanda Tsunami,
    kau tetap bermimpi lagi,
    tanpa resah dan sangsi,
    kau masih mendendami diri ini,

    sahabat,
    Adakah ini semangat diri,
    kau selalu bermegah sendirian,
    mambina rencana berduri,
    Untuk membina identiti,
    Berlatar Iblis keji,

    Sahabat,
    Ini bukan leteran.
    Tapi penerang hati,
    Membuka Minda suci,
    Agar menjadi muslim sejati,

    sahabat,
    Kau lupa siapa dibelakang,
    Kau terus bergerak lantang,
    tanpa peduli insan disisi,
    berlari-lari tanpa peduli,
    berasa riang bersendiri

    Sahabat,
    Kini kau hilang diri,
    Bukan gila babi,
    tapi lupa diri,
    Siapa yang kau kenali,
    Sudah kau lupai.

    Sahabat,
    Aku tetap dsini,
    menunggu kau insafi,
    tanpa ragu dan sangsi,
    aku tetap sahabat sajatimu,
    Yang tetap mengasihani,
    Kaulah sahabat sejati………

    -puisi ini saya didikasi kepada semua sahabat saya dan para pengujung saifulislam….Artikel ini membawa saya kembali mengamit kenagan bersama sahabat saya.tak tertahan air mata ini utk mengalir…terima kasih ustaz…

    [Reply]

  11. 11
    shiha April 13th, 2007 at 7:03 pm

    Assalamualaikum..
    Bestla nasyid tu ustaz :). Makin didengar, makin menarik. Alhamdulillah..

    [Reply]

  12. 12
    saiful April 13th, 2007 at 7:26 pm

    masya-Allah.sy pon sbnrnye tergolong dlm kalangan org mcm ust zain ni juge.tp sejak ditaqdirkan hidup sbtg kara di perantauan ni sy byk bermuhasabah dan alhamdulillah sedikit demi sedkit sy.dpt overcome sifat tu.

    [Reply]

  13. 13
    zahra April 13th, 2007 at 8:55 pm

    syukran jazilan,ustaz.. teruskan perjuangan.

    [Reply]

  14. 14
    encik_aku April 13th, 2007 at 11:04 pm

    salam wbt,
    bile dengar cerita ustaz ni, ditambah dengan melihat gambar sahabat ustaz tu, saya rase sedih pulak…hmm, jazakAllahukhair ya ustaz, teruskan menulis ustaz
    salam wbt

    [Reply]

  15. 15
    ummumawaddah April 13th, 2007 at 11:07 pm

    Betapa cepat masa berlalu kenangan semalam masih segar dlm ingatan,al-fatehah buat Abu Afaf (sy lbh suka nama ini),hanya Allah sahaja yg dpt.membalas jasanya ,semoga Allah memberi kekuatan kepada ummu Afaf.

    [Reply]

  16. 16
    Zulhimi April 14th, 2007 at 4:39 pm

    “Saya rasa, agama mematangkan manusia. Kerana selalu berfikir tentang agama, saya rasa proses penuaan saya menjadi cepat dari yang biasa.”

    Saya nampak ustaz muda sahaja….=).

    [Reply]

  17. 17
    Abu MZ April 14th, 2007 at 11:37 pm

    Tua atau muda tu bukan le bergantung semata2 faktor masa, tetapi JIWA. Segala beban tugasan & fikir kita sebenarnya bukannya meningkatkan usia dlm kehidupan ini, tetapi menambahkaan KEHIDUPAN pada usia kita. Orang banyak berfikir, mereka sentiasa kelihatan awet muda…

    [Reply]

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...