Ijazah doktor falsafah (PhD) adalah pencapaian tertinggi yang ingin dikejar oleh setiap mahasiswa yang mencintai bidang akademik. Sebaik melangkah ke universiti, mereka digalakkan untuk menanam azam melanjutkan pengajian sehingga ke tahap PhD supaya lebih ramai pensyarah dan penyelidik dapat dilahirkan oleh universiti.
Sehingga kini 31 peratus daripada 18,000 pensyarah mempunyai ijazah doktor falsafah berbanding 69 peratus yang belum ada. Jumlah ini merangkumi 20 universiti awam, 36 universiti swasta dan kolej universiti, 21 politeknik, 37 kolej komuniti dan 485 kolej swasta.
Kerajaan meletakkan 60 peratus pensyarah perlu mempunyai PhD menjelang 2010 untuk melengkap persediaan negara sebagai negara maju pada 2020 nanti. Daripada kenyataan ini, nampak ketara yang keperluan terhadap PhD sangat mendesak.
Malaysia menghadapi cabaran yang sangat getir bagi memenuhi keperluan berkenaan kerana jumlah pelajar yang melangkah masuk ke institusi pengajian tinggi tidak ramai. Pelajar-pelajar di Amerika Syarikat yang mempunyai pendidikan tinggi ialah 40 peratus daripada jumlah penduduknya. Negara-negara maju yang lainnya turut mencatatkan jumlah yang tinggi bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej atau universiti. Untuk merealisasikan hasrat kerajaan, banyak lagi usaha yang mesti dilakukan khususnya menarik minat pelajar ijazah pertama menyambung pengajian mereka ke peringkat seterusnya.
Langkah kerajaan mewujudkan gred 51 di institusi pengajian tinggi awam bagi menggalakkan lebih ramai lulusan PhD di universiti dilihat sebagai langkah penambahbaikan awal yang masih belum mencukupi. PhD adalah lambang kegigihan dan kesungguhan belajar, jadi habuan juga mesti setimpal dengan kesungguhan berkenaan.
Di Barat khususnya universiti-univrsiti ternama, ahli akademik diberi pengiktirafan dan penghormatan yang sangat tinggi. Selain status sosial, banyak kemudahan diutamakan kepada mereka. Gaji pensyarah sangat lumayan. Elaun berkaitan bidang tugas juga banyak dan diberi keutamaan serta insentif menulis buku dalam bidang kepakaran masing-masing.
Oleh kerana itu, para pensyarah berlumba-lumba menulis buku dan mendapat pulangan yang banyak kerana buku-buku ini diterbit dan dicetak bagi diedarkan ke seluruh dunia. Setiap buku bukannya berharga RM10 malah mencecah RM200 hingga RM400 sebuah.
Hanya dengan sebuah buku, pensyarah di Barat mendapat motivasi untuk terus menulis seterusnya bidang penulisan menjadi tradisi dan budaya, ia akan terus menyuburkan penyelidikan, penerbitan dan bilangan seminar dari semasa ke semasa. Di sinilah mereka mula membina nama, reputasi dan dapat meletakkan harga yang tinggi bagi setiap sesi perundingan jika mana-mana pihak ingin mendapatkan kepakaran mereka.
Para pensyarah kita masih berlegar-legar di universiti tempatan dan tidak begitu berminat meneroka peluang-peluang di Timur Tengah, Asia Selatan atau negara-negara Balkan. Kita lebih selesa berada di negara sendiri, berbangga dengan PhD yang diperoleh dan tidak cuba mengembangkan kepakaran mereka ke luar negara.
Cabaran mendapat PhD mengundang pelajar-pelajar dari Iran dan negara-negara Arab ke Malaysia dalam dua tiga tahun kebelakangan ini. Kesungguhan mereka sangat terserlah khususnya pelajar Palestine yang begitu tekun belajar. Tidak tahu mereka bertanya. Apabila tahu mereka menerangkannya pula kepada rakan-rakan yang lain. Palestine adalah di antara negara yang mempunyai lulusan PhD tertinggi di dunia kerana hidup mereka adalah untuk berjuang dan pendidikan adalah salah satu saluran perjuangannya. Setelah tamat belajar, mereka bertebaran ke seluruh dunia dengan mendapat tawaran gaji berganda-ganda daripada rakan mereka di Malaysia. Pensyarah kita cukup bangga apabila mendapat RM5,000 sedangkan mereka patut dibayar RM10,000 sebulan.
Mendapat PhD adalah lambang status dan imej. Ia menaikkan maruah dan nilai diri. Ia juga sebagai pengesahan ke atas penguasaan bidang ilmu yang diceburi dan menjadi rujukan. Seorang lulusan PhD menjadi kebanggaan universiti dan berhak mendapat tempat kemuliaan dalam akademik. Ia juga berhak mendapat pengiktirafan yang lebih baik daripada kerajaan jika ingin melihat pelajar berlumba-lumba mendapatkan PhD.
Kerajaan berperanan memberi insentif gaji dan elaun yang lebih tinggi bagi menarik lulusan PhD ini. Skim gaji yang lebih baik akan pasti menarik minat ramai pelajar untuk melihat profesion pensyarah dengan lebih serius.
Kemudahan melakukan penyelidikan mesti dutamakan kerana selain mengajar, pensyarah juga terlibat dalam penyelidikan. Rungutan pensyarah di Malaysia ialah tidak mendapat geran penyelidikan yang banyak dan kadangkala agak lambat. Jadi, mereka tidak berminat dengan penyelidikan sedangkan kerajaan meminta pensyarah membuat penyelidikan dalam bidang kepakaran mereka untuk dimanfaatkan kepada negara dan masyarakat. Tanpa geran bagaimana hendak melakukan kajian dan penyelidikan?
Setelah PhD berada di dalam genggaman, seorang pensyarah ingin melangkah lebih jauh dalam dunia akademik iaitu mendapat gelar profesor madya dan profesor. Untuk mencapai tahap ini, seorang pensyarah perlu menulis, membuat penyelidikan dan membentangkan hasil kajian mereka di dalam persidangan. Usaha-usaha ini bukannya senang kerana ada pensyarah yang bekerja 15 tahun untuk mendapat gelar berkenaan.
Profesor adalah pencapaian tertinggi dalam dunia akademik yang menjadi idaman setiap pensyarah. Tempoh sepuluh hingga 15 tahun adalah jangka masa untuk mengecap gelaran tersebut. Bagaimanapun ia bergantung kepada kerajinan dan kesungguhan bekerja ke arah berkenaan. Menjadi seorang profesor tidak begitu dibebankan dengan pengajaran kerana peranannya lebih kepada memberi sumbangan kepada masyarakat melalui pemikiran dan hasil penyelidikan mereka.
Hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai lulusan PhD mesti dizahirkan dengan tindakan. Beri kemudahan pembiayaan kewangan, banyakkan tempat belajar dan berikan insentif galakan atau pelepasan cukai supaya bebenan pelajar dapat dikurangkan. Bilangan universiti tidak perlu ditambah sebaliknya bidang pengkhususan diperluaskan dan disokong dengan tenaga pengajar yang mahir dan berkelayakan di peringkat PhD.
Proses pembelajaran sangat berkait dengan galakan dan dorongan. Jika kerajaan memberi motivasi untuk pensyarah dan pelajar meneruskan pengajian mereka, sudah tentu masalah kekurangan lulusan PhD tidak akan menjadi masalah utama. Terpulang kerana pembuat dasar pendidikan negara untuk merancang melahirkan ramai lulusan PhD ini dalam jangka masa singkat sebelum 2020 nanti.
http://zahirzainudin.blogspot.com/2008/04/peluang-belajar-ke-peringkat-phd.html
http://pkukmweb.ukm.my/~fep/pspnew/program_akademik_mba_struktur.htm
Pensyarah - Peluang belajar ke peringkat PhD
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment