RSS

Kisah Pencinta Ilmu

Doa Ibu Seorang Ulama

Syeikh Ali Soleh merupakan seorang ulama al-Azhar yang dikenali ramai. Beliau masyhur dengan kehebatannya di dalam ilmu bahasa arab. Walaupun begitu, beliau juga mahir dalam ilmu-ilmu yang lain. Syeikh Ahmad Mamduh berkata ilmu yang diminati oleh Syeikh Ali Soleh berdasarkan turutan ialah Tafsir, Hadis, Sastera, Balaghah, Nahu Soraf, Akidah, Feqah dan Mantiq.

Namun, siapakah insan yang menjadikan beliau seperti yang kita lihat sekarang ini. Tidak lain dan tidak bukan ibunya yang bernama Badawiah Mustafa. Ibunya seorang yang solehah dqn seorang yang sukakan majlis ilmu.

Ibunya membawanya ke kelas-kelas pengajian dan duduk bersamanya. Ketika syeikh masih di bangku persekolahan, ibunya inilah yang membawanya ke sekolah dan menemaninya dari luar kelas.

Suatu hari, ibunya keluar bersama seorang perempuan. Mereka terserempak dengan seorang lelaki menjual buku dengan harga satu qursh(mata wang mesir). Lalu ibunya berkata,
اعطني خمسين كتابا بخمسين قرشا
"Berikan aku 50 buah buku dengan harga 50 qursh"

Penjual itu pun menyuruh ibunya untuk memilih mana-mana buku yang dia sukai. Oleh kerana ibunya tidak pandai membaca, ibunya menyuruh seorang syeikh berserban yang turut berada di kedai tersebut untuk memilih 50 kitab untuk anaknya. Syeikh itu pun memilih kitab bagi pihak ibunya.

Apabila selesai memilih, ibunya membawa pulang buku-buku tersebut. Buku-buku itu dijunjung di atas kepalanya dan kepala perempuan yang keluar bersama dengannya. Di antara buku-buku yang dibeli tersebut ialah "Majmu Mutun". Sebuah buku yang mengandungi 63 matan asas dalam pelbagai bidang ilmu. Syeikh Ali Soleh telah menghafal kesemua matan yang ada dalam buku tersebut walaupun ketika itu beliau masih kecil.

Satu ketika, ibunya mendengar rakaman Ustaz Abbas A'qqad di corong radio. Beliau merupakan seorang ahli sastera arab yang masyhur di bumi Mesir. Di dalam rakaman tersebut, Ustaz Abbas Aqqad berkata beliau telah membaca 60,000 buku.

Apabila ibunya mendengar perkara tersebut beliau pun berdoa,
يا رب أرجو أن يكون ولدي مثله
"Ya tuhanku, aku harapkan anakku juga menjadi sepertinya"

Ternyata kini Syeikh Ali Soleh telah berjaya membaca beribu-ribu kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Doa ibunya dimakbulkan.

Syeikh Ali Soleh bercerita suatu hari selepas ibunya meninggal dunia beliau bermimpi melihat ibunya. Syeikh bertanya apakah nasib ibunya disana maka ibunya menjawab,
أكرمني الله فلقد وجدت خيرا
"Allah telah memuliakanku, sesungguhnya aku telah mendapat kebaikan yang banyak"

Itulah kisah seorang ibu daripada berjuta ibu yang ada di dunia ini. Walau siapapun mereka berkat secebis doa seorang ibu mampu mengubah diri seorang anak. Carilah kejayaan di sebalik doa seorang ibu.

#KisahPencintaIlmu

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...