RSS

TEKUN tumpu bantu generasi muda niaga


TEKUN tumpu bantu  generasi muda  niaga
Pelbagai inisiatif digerak tarik lepasan sekolah jadi usahawan

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) akan meningkatkan tumpuan lagi untuk membantu generasi muda menceburi bidang perniagaan menerusi bantuan pembiayaan perniagaan yang disediakan agensi itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan, berkata pelbagai inisiatif sudah digerakkan bagi menarik generasi muda untuk menjalankan perniagaan. 
Katanya, golongan ini bukan saja membabitkan lepasan universiti, malah ia turut ditumpukan kepada mereka yang tidak berpeluang menyambung pelajaran selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta yang tidak berpeluang menghabiskan persekolahan. 


"Antara inisiatif yang sudah digerakkan adalah dengan mengadakan bengkel keusahawanan di kampus universiti untuk menarik pelajar akan menamatkan pengajian yang berminat menjadi usahawan.

"Pada masa akan datang, kami merancang untuk mengadakan lebih banyak program dengan kumpulan sasar yang lebih meluas dalam kalangan generasi muda," katanya pada sidang media Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di sini, semalam.


Pinjaman perniagaan
Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 yang dianjurkan itu adalah julung kali, bertujuan menyediakan jaringan antara usahawan Bumiputera dan 13 agensi kerajaan terbabit dalam menyediakan pinjaman perniagaan kepada golongan itu.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukkan tambahan RM600 juta dalam usaha memperkasakan lagi usahawan Bumiputera, sekali gus melonjakkan pembabitan mereka ke peringkat global.

Daripada jumlah itu Perdana Menteri berkata, sejumlah RM400 juta akan dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU); RM100 juta oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk pembangunan korporat bagi pertambahan ekuiti Bumiputera dan baki RM100 juta lagi oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bagi membantu usahawan Bumiputera mendapat lokasi strategik di pusat membeli belah ternama bagi memasarkan jenama antarabangsa.

TEKUN berkata, sejak 1998 hingga kini, ia sudah menyalurkan RM2.46 bilion dalam bentuk pinjaman kepada 241,250 usahawan Bumiputera.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 50 peratus penerima pinjaman TEKUN aktif menjalankan perniagaan dan membayar balik pinjaman yang diberikan.

“Berdasarkan data ini, kami merancang untuk mempertingkatkan perkhidmatan TEKUN dengan menambahbaik mekanisme meluluskan pinjaman bagi memastikan pinjaman diberikan kepada usahawan tulen.


Pastikan calon komited

“Selain itu, kami turut merancang untuk menambahbaik program pembangunan usahawan yang dijalankan dengan tumpuan ke arah menjadikan pinjaman TEKUN berkesan dalam membantu mengangkat usahawan Bumiputera di peringkat bawah," kata Abdul Rahim.

Ketika ini, katanya, TEKUN sedang memproses kira-kira 10,000 permohonan pinjaman perniagaan dan badan itu komited dalam memastikan pemilihan calon berjaya tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013, Abdul Rahim berkata, beliau menghargai kesediaan kerajaan untuk terus membantu usahawan Bumiputera terutama peniaga kecil.

“Persetujuan Perdana Menteri untuk membantu usaha mewujudkan jaringan antara 13 agensi kerajaan yang menyediakan bantuan perniagaan kepada usahawan Bumiputera secara berterusan akan menjadi pemangkin kepada meningkatkan taraf perniagaan usahawan Bumiputera ke tahap lebih tinggi lagi," katanya.

Sumber: Berita Harian

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...