RSS

GAMBAR JENAZAH WIRA NEGARA TIBA DAN SELAMAT DIKEBUMIKAN

Jenazah allahyarham Supt. Ibrahim b Lebar, sedia dibawa masuk ke dalam masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya untuk disembahyangkan selepas solat Isya.


KUALA LUMPUR, 4 Mac - Jenazah enam pegawai dan anggota polis
yang terkorban dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, tiba dan dikebumikan di kawasan kediaman masing-masing hari ini.

Jenazah Supt Ibrahim Lebar, 52, dan jenazah L/Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 6.35 petang.

Suasana pilu menyelubungi pangkalan TUDM itu apabila anggota keluarga tidak dapat mengawal kesedihan melihat ketibaan jenazah yang dibawa dengan pesawat tentera C-130 itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir bersama-sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta ratusan pegawai dan anggota polis bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua wira negara itu.

Y.A.B Perdana Menteri mengiringi jenazah masuk ke Balai Ketibaan VVIP Pengkalan Udara TUDM Subang, Selayang.
Turut hadir isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah,
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
YABhg Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri Malaysia bersama YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah wira-wira negara..
Ibrahim dari Cawangan Khas Bukit Aman dan Mohd Azrul dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau ialah antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam kejadian serang hendap oleh kumpulan bersenjata di perkampungan atas air itu kira-kira pukul 8 malam, Sabtu lepas.

Empat lagi yang terkorban ialah ASP Michael Padel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sjn Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sjn Abd Azis Sarikun dari PGA Tawau dan Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau).

Jenazah Ibrahim dibawa ke kediamannya di No.45 Jln USJ 9/5F Subang Jaya dan dikebumikan di tanah perkuburan USJ 22, Subang Jaya malam ini manakala jenazah Mohd Azrul dibawa ke kediaman keluarganya di Lot.6278/2461 Jalan Telok Kapas, Kampung Rantau Panjang, Klang untuk dikebumikan malam ini.

Jam 8.05 malam konvoi mengiringi jenazah allahyarham Supt. Ibrahim b. Lebar tiba di perkarangan kediaman keluarga dan diusung masuk ke dalam rumah untuk diziarahi ahli keluarga dan sahabat handai.
Perkarangan pangkalan TUDM dibanjiri anggota keluarga pegawai dan anggota polis itu sejak jam 4.30 petang.

Di KUCHING, mayat mendiang ASP Michael Padel Sano tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching pada pukul 5.30 petang.

Turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Mayat mendiang dibawa pulang ke Kampung Bidayuh, Tembakang di Serian dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan Sarawak di Kuching pada Rabu.

Di KOTA KINABALU, jenazah Baharin tiba di Lapangan Terbang Terminal 2, Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 2 petang.
Suasana pilu menyelubungi keluarga Allahyarham Sarjan Baharin bin Hamid..
Di SEMPORNA, jenazah Abd Azis yang tiba dengan van jenazah di Surau IPD Semporna pada pukul 9.30 pagi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 2, Jalan Bunga Raya di sini selepas solat Zohor.

Jenazah Salam pula disembahyangkan di Surau IPD Tawau dan dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Batu 15, Jalan Apas Tawau, Sabah pada pukul 10.15 pagi ini. - BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...