RSS

Bimbang Tak Mampu Sedia Hantaran Kahwin Tinggi

APABILA terbaca beberapa siri penulisan dalam Jendela Hikmah mengenai perkahwinan adalah ubat kepada cinta songsang di kalangan orang muda yang membawa kepada zina, maka saya rasa terpanggil untuk menyahut cabaran itu. Saya berniat mengahwini kekasih hati tetapi saya bimbang tidak mampu memberikan hantaran tinggi kepada bakal isteri. Apakah sebenarnya nilai hantaran yang paling minimum yang diwajibkan oleh Islam?



Mat bermotosikal

Klang, Selangor

=====================================================


Kebimbangan saudara itu memang ada asasnya. Bacaan saudara mengenai episod perkahwinan membabitkan perbelanjaan besar, mas kahwin yang mahal dan hantaran mewah itu menghantui pemikiran saudara.

Berapa ramai daripada masyarakat kita yang mampu berbuat demikian? Apakah kayu ukur penentuan mahar dan mas kahwin dalam kehidupan masyarakat kita?

Adakah kita secara tidak sedar mula menggunakan kayu ukur penentuan nilai wanita dalam perkahwinan menggunakan laras penilaian artis barat yang menghabiskan berjuta-juta dolar untuk berkahwin, kemudian bercerai tidak lama selepas itu.

Adakah kadar mahar dan hantaran yang mewah dan mahal itu menjamin kebahagiaan dan kelangsungan perkahwinan?

Secara tidak langsung laporan berlebihan mengenai kemewahan mahar dan hantaran perkahwinan membentuk beberapa persepsi baru yang negatif dalam minda masyarakat ketika membuat persediaan mengadakan majlis perkahwinan dan niat pasangan yang bakal berkahwin.

Persepsi negatif itu antaranya:

l Untuk mendapat mahar dan hantaran tinggi mestilah menjadikan diri seorang yang popular dan glamor, sedangkan ilmu dan akhlak tidak diambil kira.

l Lelaki berasa lebih terancam dan takut untuk berkahwin jika belum ‘kaya.’ Mereka akan susah untuk berkahwin awal kerana takut dipaksa memberikan hantaran mahal yang di luar kemampuan. Sehingga ada yang mencari jalan haram untuk memuaskan nafsu seks mereka.

l Nilai wanita masa kini adalah berasaskan wang ringgit saja. Buktinya ialah saudara kini (dan juga segelintir masyarakat) yang masih keliru antara 'mas kahwin' dan 'hantaran'. Sebenarnya ada perbezaan ketara antara keduanya.

Mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya, sama ada disebut ketika akad atau tidak disebut.

Firman Allah bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian wajib.” (Surah an-Nisa’, ayat 4) Allah berfirman lagi bermaksud: “Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.” (Surah an-Nisa’, ayat 24)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.” (Hadis riwayat Bukhari ) Mas kahwin boleh diberikan dalam bentuk apa saja asalkan berfaedah, sama ada wang ringgit, barang atau sesuatu yang bermanfaat.

Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu apapun untuk dijadikannya mas kahwin lalu Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: “Adakah kamu menghafaz sedikit daripada ayat al-Qur'an? Lelaki itu menjawab dia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah SAW pun mengahwinkan lelaki itu dengan mas kahwin surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Mahar juga disebut sebagai ‘Sadoqathinna’ bagi menggambarkan kebenaran dan kesungguhan keinginan untuk berkahwin daripada pihak yang memberi atau dengan kata lain menunjukkan bahawa pihak suami benar-benar ingin berkahwin apabila dia bersedia memberikan mas kahwin kepada isteri.

Hantaran pula ialah hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran tidak wajib tetapi hukum adat dan hukumnya harus.Mengenai kadar mas kahwin, ulama berselisih pendapat dari segi kadar minimum. Ulama sepakat mengatakan tiada had maksimum berdasarkan ayat 20 surah An-nisa' yang menyebut perkataan ‘qintor’ bermaksud emas yang sangat banyak.

Menurut Ibn 'Abbas dan Mujahid, qintor bersamaan 70 mithqal, kata Abu Said emas sepenuh belulang lembu. Namun, disunatkan kita tidak berlebihan dalam memberikan hantaran menurut dalil di bawah:

Daripada 'Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah (rendah) maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy) Daripada 'Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setengah daripada keberkatan wanita ialah mudah peminangannya dan mudah maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy)

Abu Hurairah berkata, “Adalah sodaq kami ketika zaman Rasulullah ada bersama kami 10 waqyah.” (1 waqyah bersamaan 40 dirham)

Saidina Umar berkata: “Awas! Janganlah kamu melampau dalam memberi mas kahwin kepada wanita kerana sesungguhnya jika wanita itu seorang yang mulia di dunia atau seorang yang bertakwa di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW orang yang paling utama berbanding kamu dalam memberi mas kahwin yang banyak. Padahal aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berkahwin dengan mana-mana isterinya atau mengahwinkan mana-mana puterinya dengan mas kahwin lebih daripada 12 waqyah.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi )

Mengenai kadar melampau batas, menurut Ibn Qudamah (Mazhab Hambali), tidak digalakkan lebih daripada 500 dirham, iaitu kadar mahar isteri Rasulullah SAW, begitu juga pendapat ulama Mazhab Syafie, Maliki, had melampau ialah kadar melebihi kebiasaan orang ramai.



Hikmat mengelakkan daripada berlebih dalam membayar mahar adalah untuk memudahkan pemuda berkahwin supaya tidak terpesong kepada perkara yang tidak diingini seperti zina dan perkara yang membawa kepada buruk akhlak.

Saidina Umar berkata dalam khutbahnya: “Sesungguhnya lelaki yang berlebih dalam memberi mahar perempuannya sehingga menjadikan perempuan itu permusuhan dalam diri lelaki itu.” (Hadis riwayat an-Nasaie)

Apa yang perlu kita utamakan ialah kesederhanaan, keberkatan dan kelangsungan perkahwinan bakal dilalui pasangan pengantin itu. Bukan glamor dan menunjuk-nunjuk yang membawa kepada riak serta unsur negatif dalam masyarakat yang sebilangan besar tidak mampu mengadakan hantaran yang mahal.



Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di BICARA KALBU

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...