RSS

TANDA-TANDA KESAYANGAN ALLAH

TANDA-TANDA KESAYANGAN ALLAH

" Apabila Allah mahukan kebaikan kepada mana-mana hamba-Nya Ia jadikannya merasa dirinya kaya dan ia mengisi taqwa di dalam hatinya, dan apabila Allah mahukan keburukan kepada mana-mana hamba-Nya Ia jadikan kemiskinan itu terbayang di matanya. "

Diriwayatkana oleh al-Hakim dari Abi Hurairah

TUJUANNYA

Kaya dan miskin sentiasa menjadi persoalan pokok dalam hidup manusia di dunia ini. Yang miskin ingin jadi kaya dan yang kaya ingin jadi lebih kaya lagi. Namun begitu keinginan untuk jadi kaya bukanlah merupakan satu dosa di sisi Allah, demikian juga keinginan menjadi lebih kaya. Tetapi yang sering menghilangkan pertimbangan manusia yang wajar dan yang sering menjadikan manusia lupakan daratan ialah perasaan tamak yang tidak mengenal batasnya, perasaan merasa tidak cukup yang tidak tahu sempadan.

Dalam hadis ini Allah mendedahkan dua sifat pokok yang membezakan di antara orang yang disayangi Allah dengan orang yang dibenci Allah. Sifat yang disayangi Allah ialah sifat memada dan sederhana. Setiap orang yang dapat menikmati sifat itu akan merasa dirinya benar-benar kaya dan merdeka. Ia tidak diburu oleh merasa kebimbangan yang bukan-bukan, tidak dirasuk oleh ketamakan-ketamakan yang boleh memesongkan jalan hidupnya yang baik, sementara sifat orang yang dibenci Allah ialah orang yang sentiasa merasa dirinya diancam kemiskinan, ia begitu takut jatuh papa dan miskin, begitu panik dengan kemerosotan kekayaannya walaupun kekayaan yang wujud dalam miliknya masih kukuh dan masih tidak seburuk orang lain.

Penyakit takut miskin atau 'miskin fobia' merupakan penyakit zaman moden yang amat ditakuti sekali, kerana itu sebilangan besar orang ramai melindungi dirinya dan anak buahnya dengan berbagai-bagai insuran dan menyapu dari jiwa mereka sebarang perasaan menyerah dan bertawakal kepada Allah yang menjadi sifat utama para Mukminin dan tidak kurang pula menjadi petualang-petualang yang bersedia untuk merompak apa sahaja peluang yang dapat membebaskan mereka dari ketakutan menjadi miskin. Dan penyakit inilah juga yang menjadikan mereka manusia-manusia bakhil yang hanya sibuk menghitung punca-punca masuk dan keluarnya duit-duit mereka, tanpa mengira kewajipan-kewajipan terhadap Allah dan masyarakat.

Dalam surat Al-Isra' ayat (100) Allah memberi satu sindiran tajam kepada manusia yang dikongkongi penyakit 'miskin fobia'

" Katakanlah wahai Muhammad kalau kiranya kamu (wahai manusia) menguasai perbendaharaan-perbendaharaan nikmat Tuhanku tentulah kamu tahankan perbendaharaan itu kerana takut membelanjakannya, sesungguhnya manusia itu amat bakhil. "

Al-Isra' (100)



neoworx

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...